MUHYIDDIN JADI HILANG PUNCA BILA ‘PULANG KOSONG’ SELEPAS MENGADAP AGONG?

 

Sesuatu yang Muhyiddin Yassin langsung tidak jangka ialah beliau dan rombongannya terpaksa “pulang kosong” selepas mengadap Agong semalam.

Diberitakan, jangkaan beliau ialah cadangannya berkenaan perisytiharan darurat itu akan dipersetujui Agong tanpa banyak soal kerana ia telah diperakui oleh kabinet.

Lebih daripada itu, dalam majlis mengadap semalam juga, Muhyiddin turut membawa sama beberapa menteri dan pegawai tinggi kerajaan bersamanya.

Dengan itu, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi cadangan itu akan diterima Agong, seterusnya dapat memberi nafas kepada hayat politiknya untuk bertahan lebih lama.

Tetapi, apabila Agong meminta masa untuk memperhalusi cadangan tersebut, malah akan memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja terlebih dahulu bagi membincangkannya, ia menyebabkan Muhyiddin jadi hilang punca.

Sebab itu, difahamkan sebaik pulang ke Kuala Lumpur selepas mengadap Agong, sementara suara bantahan terhadap cadangan darurat itu makin meluas, Muhyiddin tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Beliau tidak menjangka sama sekali keadaan itu akan berlaku kerana apa ada dalam fikirannya ialah selepas mendapat persetujuan Agong itu, bellau akan terus membuat pengumuman rasmi berkaitan darurat dengan asas paling kukuh dalam penampilan dan hujahnya ialah persetujuan Istana Negara telah diperolehi.

Disebabkan tidak bersedia dengan keadaan tak dijangka itu, Muhyiddin dan lain-lain menteri, kecuali Annuar Musa, semua yang lain dilihat tidak mampu lagi menampilkan hujah melawan mereka yang memprotes darurat yang dicadangkannya itu.

Tidak kurang mereka yang berada di kem Muhyiddin melihat kebijaksanaan Agong menangguhkan persetujuan baginda berkaitan cadangan darurat itu sebagai suatu petanda yang tidak baik.

Ada yang berkata, jika Agong setuju, baginda pasti memberi persetujuan segera pada petang semalam juga.

Tetapi, dengan menangguhkan keputusan dan mahu berbincang dengan Majlis Raja-Raja terlebih dulu, harapan untuk darurat dipersetujui terlihat mula kabur.

Yang paling pasti, kiranya persetujuan daripada Agong diperolehi petang semalam, tentulah Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin yang paling awal tampil bersuara mempertahankan kewajaran darurat dikuatkuasakan.

Meskipun akal yang waras tidak dapat menemui jawapan yang logik di mana kaitannya antara melawan Covid19 dengan penggantungan Parlimen, tetapi jika persetujuan Agong telah diperolehi, Muhyiddin dan semua menteri kabinet yang menjadi pengampu kuatnya pasti akan melakukan apa saja untuk mempertahankannya.

Begitu juga dengan pimpinan Bersatu, mereka turut tidak mampu tampil melawan hujah-hujah yang menolak darurat lantaran langsung tidak bersedia ke arah itu.

Yang mereka tahu, cadangan itu akan dipersetujui Agong dan mereka akan beramai-ramai menyokongnya setelah Muhyiddin membuat pengumuman.

Beberapa pemimpin Bersatu dilaporkan bertanya sesama sendiri apa yang perlu dilakukan dalam situasi sekarang ini.

Meskipun dikatakan ada yang mahu tampil dan mengeluarkan kenyataan melalui media sosial, tetapi melihat protes yang begitu ketara, ada yang jadi kecut dibuatnya.

Terdapat juga pemimpin Bersatu yang menasihatkan rakan-rakan mereka, jika tidak tahu apa yang sepatutnya mahu dipertahankan, maka lebih baik berdiam diri saja.

Esok Majlis Raja-Raja dilaporkan akan bermesyuarat membincangkan cadangan darurat tersebut dan sementara itu, protes serta suara di kalangan rakyat Malaysia yang menolak cadangan darurat boleh dikata menjangkau lebih 90 peratus jumlahnya.

Rakyat yang tidak bersetuju dengan darurat, rata-ratanya bukan saja tidak menemui jawapan tentang kaitan antara Covid19 dengan penggantungan Parlimen, malah juga hairan mengapa Sabah yang tinggi kes setiap hari tidak diisytiharkan darurat lebih dulu?

Harapan rakyat cuma satu iaitu agar mesyuarat Majlis Raja-Raja esok ada jawapan yang mampu meredakan kekalutan ini, sambil menunjukkan jalan yang sebaiknya kepada pemimpin yang enggan menerima hakikat bahawa mereka sudah hilang sokongan majoriti.

 (Shahbudindotcom 24/10/2020)



No comments: