KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN PASIR GUDANG Pekara: Hormati Kebebasan Ahli


Pekara: Hormati Kebebasan Ahli Parlimen Menentukan Pendirian Dan Membuat Keputusan


1.Belanjawan Negara Tahun 2021 yang akan dibentangkan oleh Kerajaan pada 6hb November di Dewan Rakyat adalah dalam bentuk Rang Undang-Undang Perbekalan di bawah Perkara 100 Perlembagaan Persekutuan.


2.Parlimen adalah badan legislatif iaitu sebuah institusi perundangan yang tugasnya menggubal undang-undang. Manakala ahli-ahli parlimen adalah penggubal undang-undang atau (laws maker).


3.Negara kita Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengguna pakai prinsip pengasingan kuasa (separation of powers).Semua pihak dan institusi perlu menghormati parlimen dengan menyediakan suatu keadaan yang kondusif bagi membolehkan ahli-ahli parlimen bebas menentukan pendirian dan membuat keputusan.


4.Dalam hal ehwal kewangan negara, peranan parlimen amat besar.Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa tiada percukaian melainkan jika dibenarkan oleh undang-undang. Manakala Perkara 102 pula menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan.


5.hal-hal berkenaan rang undang-undang melibatkan kewangan negara adalah dalam bidang kuasa parlimen.Tidak ada sesiapa boleh mengarah, mendesak,memujuk atau memaksa ahli-ahli parlimen supaya menyokong dan meluluskan sesuatu rang undang-undang belanjawan negara termasuklah Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan pada 6hb November nanti.


6.Peranan Parlimen sebagai badan semak dan imbang perlu difahami dan dihormati.Rang undang-undang belanjawan tahun 2021 seperti belanjawan sebelum ini perlu melalui proses penggubalan undang -undang yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan kewangan yang sedia ada.Rang undang-undang belanjawan 2021 perlu dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa.Proses pengundian juga perlu dilakukan di peringkat dasar dan juga peringkat jawatankuasa.Tidak ada proses fast track ataupun jalan pintas.Duit beratus bilion ringgit dalam belanjawan negara 2021 itu adalah duit pembayar cukai dan duit hasil negara milik rakyat dan milik negara.


7.Ahli-ahli parlimen yang mengangkat sumpah telah berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang membawa maksud menjaga kepentingan rakyat dan negara.Ahli-ahli parlimen sama ada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berada di Parlimen atas kelayakannya menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan.Justeru itu kepercayaan wajar diberi kepada mereka untuk menimbang mana yang baik dan mana yang merosakkan negara.


8.Sebagai seorang ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat, saya amat gusar dan bimbang dengan suatu kenyataan Istana negara bertarikh 28 Oktober 2020 yang dikeluarkan oleh Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsudin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang menyebut, antara lain, bahawa Yang di-Pertuan Agong menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.


9. Saya beranggapan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip raja berperlembagaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.Saya ingin menegaskan ahli-ahli parlimen mestilah bebas untuk membuat keputusan di dalam sidang parlimen termasuk sidang berkenaan Belanjawan 2021 tanpa ada sebarang tekanan atau pengaruh sesiapa (undue influence).


Yang benar


HASSAN BIN ABDUL KARIM

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Bertarikh: 28 Oktober 2020.



No comments: