HADI PUN LUPA #HUDUD TERINGATKAN #ROYALTI

 

HADI  PUN LUPA #HUDUD TERINGATKAN #ROYALTI

SAYA menanti-nanti giliran wakil Marang (Abdul Hadi Awang - Pas) membahas pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11. Apa yang saya tunggu bukan ulangan kepada isu yang sudah dibangkitkan oleh beberapa wakil pembangkang lain, khasnya daripada Pas, yakitu mengenai tuntutan dan tagihan royalti Petroleum untuk negeri Terengganu dan Kelantan.

Cukuplah wakil-wakil pembangkang lain yang menyebutnya kerana tagihan wang roytalti itu bagi saya adalah kebendaan (materialis) belaka. Ada perkara lebih penting yang dinantikan akan dibentang atau pun dibangkitkan oleh Hadi Awang sebagai presiden parti agama (Pas).

Perkara itu ialah berhubung cita-cita lama Pas untuk melaksanakan hukum Hudud atau pun memperkasakan mahkamah syariah di negara ini.

Isu RUU 355 bagi meminda Enakmen Agama Islam bagi memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah, tampaknya tidak disebut langsung oleh Hadi Awang. Begitu juga perkataan Hudud, yang telah menjadi bertih dimulut orang Pas selama ini juga tidak disebut. Selama ini selepas Allah, Rasul, Hadi Awang maka Hududlah yang sering bergantungan dimulut orang Pas.

Sebaliknya Hadi ada menyebut perkataan #Royalti. Jika tidak salah pengamatan saya dalam masa 22 minit beliau berbahas, sebanyak dua atau tiga tiga kali disebut royalti, hanya sekali perkataan semiripnya “ta'zir” disebut. Hadi mahukan hukuman ta'zir dipraktikan kepada pesalah rasuah kerana ia lebih berkesan daripada hukuman denda atau penjara.

Kenapa berlaku itu, melupai Hudud melautkan RUU 355? Apakah Hadi sudah menyedari dan baru berpijak dibumi nyata yang bahawa wang lebih penting daripada rektorik politik. Retorik dan impian tidak boleh membangun negeri. Jika soal Hudud atau desakan untuk membentangkan RUU 355 yang pernah dibawa sebelum ini sesuatu yang tulen dan merupakah hakikat agama, kenapa ia ditinggalkan dalam perbahasan kali ini? Kalau ia hakikat agama tentu Hadi tidak terlali mengenai perkara itu.

Jika ia hakikat tidak patut Hadi melupai agenda penting itu kerana bila meninggalkan ia boleh dikira berdosa. Bukankah sebelum ini para pemimpin Pas meluang-laungkan usaha menegakkan Hudud adalah usaha wajib bagi mengesahkan seseorang itu akan ke syurga dan yang menentangnya akan ke neraka.

Semasa sebelum dan sepanjang kempen PRU lalu, isu atau tajuk RUU 355 ini, ada setengah penceramah Pas mendakwa (takfiri) mereka yang menolak RUU 355 adalah menolak Islam. RUU 355 bagi sesetengah orang Pas sudah dianggap sebagai rukun Imam yang ke tujuh. Bukan itu sahaja Pas berkolaborasi dengan Umno mengadakan himpunan di Padang Merbok. Ke mana lenyapnya spirit himpunan berkenaan, apakah ia ditimbus oleh janji Dr Mahathir hendak bagi royalti minyak.

Apakah dengan melupai keperluan untuk membawa RUU 355 dalam perbahasan dalam sidang yang berlangsung kini boleh disifat Hadi sudah mengabaikan agama dan mengulangi tuntutan royaliti itu sebagai berubah rasa dari agama kepada duit pula?

Atau pun soal Hudud itu boleh diketepikan kerana soal royalti lebih penting. Mesti ada fatwa baharu yang dikeluar dan diterima pakai oleh Pas. Sebab saya perhatikan semua wakil Pas yang mengambil perbahasan pembentangan kajian separuh penggal RM -11 tidak bernafsu lagi mengenai Hudud dan RUU 355.

Sebagai seorang pemimpin yang 'concern' dengan Islam (Hudud) Abdul Hadi sepatutnya tidak lupa untuk mendesak kerajaan untuk membawa usul RUU 355. Sepatutnya inilah masanya Hadi dan Pas untuk menguji sejauh mana komitmen menteri agama sekarang ini mengenai agenda itu. Beliau patut menggesakan kerajaan, memohon kepada kerajaan khasnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusuff mengambil tanggungjawab membawa usul berkenaan. Inilah ujian untuk Mujahid.

Kita mahu juga mendengar apakah jawapan Mujahid berkenaan usul berkenaan. Apabila usul RUU 355 dan hukum hudud tidak dibangkitkan, bermakna terlepas dan selamatlah Mujahid untuk menjawab dan mengulas dan bersilat mengenai perkara itu.

Apa yang saya boleh dismpulkan apabila Hadi melupai isu berkenaan, bahawa jelas Hudud dan RUU 355 itu hanya modal politik semata. Retorik. Ia membenarkan apa yang kita katakan sebelum ini bahawa Hudud hanya dijadikan mainan politik Pas sahaja. Apabila hampir dengan pilihan raya, maka Hudud dibangkitkan dengan rancak dan berkobar-kobar. Ia jadi seperti ombak di lautan China Selatan yang melambung tinggi waktu musim tengkujuh, tetapi hilang di selepas angin monsun berhenti bertiup.

Cukuplah bagi Pas bermain dengan isu klise Hudud dan RUU 355. Eloklah kalau Pas dan Hadi sedar bahawa kebendaan dan wang royalti itu lebih bermanfaat daripada rancangan hendak melaksanakan Hudud di Terengganu atau Kelantan. Hudud dan RUU 355 itu hanya sedap didengar tetapi ia tidak semanis mengecapi wang royalti.

Sehubungan itu, masa masih ada untuk Pas memperbetulkan kekhilafan langkah politiknya selama ini. Tindakan Pas menyerang pemimpin PH khasnya daripada parti Amanah kebanyakan rakannya satu kesilapan besar. Ia tidak sesuatu yang bijak. Bergaduh dengan kawan yang kita anggap kawan yang ada wang, tidak bijak. Ayuh sambung lah silaturahim.

Sekiranya Pas awal-awal lagi menghulurkan tangan kepada kerajaan PH, mungkin soal royalti tidak menjadi masalah lagi. Mungkin kini Terengganu dan Kelantan sudah menerima royalti petroleum itu seperti apa diterima Sabah dan Sarawak. Dan sekiranya Pas bijak politik lebih awal sebelum ini, bersama PH, bukan sahaja para pemimpin Pas berada dalam kabinet Dr Mahathir kini, tetapi tidak mustahil juga Abdul Hadi telah pun menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Berhentilah dan cukuplah. Tidak ada untung bagi Pas untuk terus berkonfrontasi dan bersikap keras ken.

Akhir-akhir ini walaupun Pas sudah nampak lunak dengan Dr Mahathir, memujinya, tetapi ia tetap mengeras "barang dari dalam jubah" dengan Anwar. Pas terus berkeras barang dengan Anwar. Apabila Pas meletakkan calon di PRK Port Dickson, itu bermakna Pas tidak mahu memberi laluan kepada Anwar sebagai PM ke 8 yang sudah dikonsensuskan oleh PH. Tindakan bermusuh dengan Anwar dan menolaknya menjadikan Pas akan mengalami kebodohan dua kali.

Pas akan melepaskan perahu untuk menyeberang sungai dan ia juga akan meninggalkan kapal untuk belayar merentas samudera luas.

Kerana kebebalan dan politik keras "ken" dan sikap politik ikan keli dalam besen, menyebabkan peluang itu terlepas begitu sahaja. Pas dan Hadi Awang sudah kerap kali jadi sang Lebai Malang, ke hulu terlepas ke hilir terlepas...

MSO

Description: Image may contain: 2 people

 

 

No comments: