GENCATAN POLITIK INI HANYA SEMENTARA. MUHYIDDIN BELUM BOLEH TIDUR LENA

 

Genjatan politik UMNO sebagaimana diumumkan Zahid Hamidi, walaupun dilihat telah menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, tetapi ia bukanlah untuk selama-lamanya.

Namanya pun genjatan politik – macam genjatan perang – maka tentulah ia hanya sementara dan bila-bila masa senjata boleh diangkat semula.

Apatah lagi, di sebalik mampu menulis sebuah kenyataan media mengumumkan genjatan politik, Presiden UMNO itu masih tidak mampu untuk menulis walau sepatah perkataan untuk menafikan surat yang viral sebelum ini yang didakwa ditulisnya kepada Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baru menjatuhkan Muhyiddin.

Penafian mengenai surat itu yang turut disokong oleh Najib Razak hanyalah melalui jurucakap UMNO yang tidak dinamakan siapa orangnya.

Selain Zahid Hamidi membisu, Najib juga masih berdiam diri berhubung surat tersebut.

Semua ini memberi gambaran, bukan saja surat itu adalah asli, malah sokongan Zahid Hamidi dan beberapa Ahli Parlimen UMNO kepada Anwar juga asli.

Jika tidak, apa perlunya diumumkan genjatan politik?

Cuma, oleh kerana persekitaran yang tidak begitu mengizinkan buat ketika ini, khususnya kerana kenaikan semula angka kes Covid19, pusingan U Zahid Hamidi ini masih boleh difahami.

Ia hanya memberi maksud bahawa pertukaran kerajaan tidak begiti sesuai dilakukan ketika Covid19 sedang melanda.

Yang penting, Zahid Hamidi dan Najib tidak menarik balik sokongannya kepada Anwar untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Boleh jadi juga, dengan genjatan politik yang diumumkan Zahid Hamidi ini, tidak ada keperluan lagi untuk Agong meneruskan majlis mengadap ketua-ketua parti yang tertangguh pada minggu lalu.

Tetapi, semua itu tidak menghalang usaha menjatuhkan Muhyiddin diteruskan melalui penolakan terhadap usul Belanjawan 2021 pada Sidang Parlimen yang bermula 2 November depan.

Inilah cara yang terbaik yang tidak mampu dielakkan lagi oleh Muhyiddin, selain perlu menghadapinya dengan hati yang terbuka.

Seperti usul undi tidak percaya, walaupun beberapa Ahli Parlimen telah menulis surat mengenainya, namun ia masih boleh dihalang daripada dikemukakan melalui kuasa yang ada pada Speaker, tetapi tidak demikian keadaannya dengan usul Belanjawan.

Selepas dibentang dan dibahas, ia perlu diundi untuk kelulusan dan jika gagal, sama seperti penolakan terhadap kerajaan.

Melalui undian Belanjawan 2021, selain blok pembangkang akan bersatu hati menolaknya yang bererti menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, ia tidak mustahil akan turut disokong oleh beberapa Ahli Parlimen UMNO.

Kalau pun mereka tidak mahu menunjukkan sokongan secara terbuka melalui undi, penolakan boleh juga dibuat dengan cara tidak berada di Dewan Parlimen ketika pengundian dijalankan.

Terutamanya Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menulis surat kepada Speaker berkaitan usul tidak percaya baru-baru ini, beliau adalah antara yang disebut ramai sebagai antara Ahli Parlimen UMNO yang tidak akan menyokong undian belanjawan nanti.

Begitu juga dengan Zahid Hamidi, Najib, Tengku Adnan, Ahmad Maslan, Azeez Rahim dan Bung Mokhtar, kecuali jika ada jaminan selesa daripada Perdana Menteri berkaitan kes mahkamah mereka atau ia dapat dilakukan dalam tempoh terdekat ini, tidak mustahil mereka juga menolak pengundian tersebut.

Sepatah kata Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, apa salahnya jika Zahid Hamidi berbuat sesuatu untuk menyelamatkan dirinya dan semua orang pun akan berbuat begitu?

Pokoknya, walaupun ada genjatan politik oleh Zahid Hamidi ketika ini, Muhyiddin masih belum boleh memeluk bantal untuk tidur dengan lena lagi.

(Shahbudindotcom 21/10/2020)


No comments: