DEMI NEGARA ALANGKAH BAIKNYA JIKA UMNO DAN DAP DAPAT BEKERJASAMA

 

Walaupun UMNO dan DAP diketahui sudah bermusuhan sejak sekian lama, permusuhan itu jika dihalusi hanyalah sia-sia saja.

Ini kerana kedua-dua parti tidak pun bertembung dalam pilihanraya di kawasan yang sama.

UMNO hanya bertanding di kawasan Melayu atau luar bandar, manakala DAP lebih tertumpu di bandar serta kawasan majoriti Cina.

Tindakan UMNO terus memusuhi DAP hanya meringankan kerja MCA dan membuatkan parti Cina dalam komponen BN itu lebih banyak masa untuk goyang kaki daripada membuat kerja.

Sepatutnya, biarlah MCA saja mendepani DAP kerana ia parti Cina juga, selain itulah lawannya dalam pilihanraya.

Ini tidak, UMNO lebih melihat DAP macam mereka takutkan hantu, walaupun tidak pernah melihat rupa sebenar hantu.

DAP juga begitu, mereka turut takut kepada UMNO seperti takutnya kepada hantu.

Hakikat mudahnya, ketakutan UMNO kepada DAP, begitu juga ketakutan DAP kepada UMNO, lebih banyak diselubungi imaginasi.

Realiti yang nyata, UMNO adalah parti Melayu yang bukan saja bertanding di kawasan Melayu, tetapi turut menang banyak kerusi di kawasan Melayu.

Sama juga dengan DAP, ia adalah parti Cina yang cuma bertanding di kawasan majoriti Cina dan menang banyak kerusi di kawasan Cina.

Makna kata, kedua-dua parti iaitu UMNO dan DAP adalah parti yang diterima di kawasan masing-masing yang berbeza kelompok kaumnyq.

Jadi, di mana logiknya mereka perlu bermusuh dan bergaduh?

Kebelakangan ini, berikutan ura-ura Anwar Ibrahim mahu membentuk kerajaan baru dengan sokongan UMNO, ternampak ramai sekali pemimpinnya menolak kerjasama itu dengan alasan ada DAP di dalamnya.

Sesetengah pemimpin juga enggan memberi komitmen kerana ia melibatkan UMNO.

Sebagaimana disebut di atas, ketakutan itu sebetulnya hanya imaginasi dan seperti takutnya kepada hantu, walaupun seumur hidup tidak pernah melihat rupa hantu.

Kenapa perlu takut sesama sendiri sedangkan mereka tidak pernah bekerjasama dan bertanding pula di kawasan yang berbeza?

Dalam konteks masyarakat majmuk dan untuk kebaikan negara, oleh kerana UMNO adalah parti paling diterima oleh orang Melayu, sementara DAP parti paling diterima oleh orang Cina, bukankah lebih baik jika mereka saling bekerjasama?

Dengan bekerjasamanya UMNO dan DAP dalam kerajaan, mereka mampu saling berperanan dengan lebih baik untuk memajukan negara mewakili sokongan kuat daripada kaum masing-masing

Lebih daripada itu, dengan bersama dalam kerajaan juga, mereka mampu saling menyesuaikan diri, berkompromi dan mengawal atau menegur antara satu sama lain dalam mengurus negara.

Lagi pula, dengan kedudukan MCA yang ditolak oleh pengundi Cina, keharmonian kaum hanya dapat dicapai melalui wujudnya kerjasama kedua-dua parti yang mendapat sokongan kaum Melayu dan Cina itu.

Selagi mereka bermusuhan dan seperti takutkan hantu, selagi itulah keharmonian antara Melayu dan Cina tiada jambatan penghubungnya.

Namun demikian, UMNO dan DAP tidak perlu bersama dalam sebuah gabungan parti yang sama, mereka boleh terus berbeza seperti sedia ada untuk menghadapi pilihanraya.

Mereka bebas bertanding di kawasan yang berbeza, tetapi setelah pilihanraya selesai dan demi kebaikan negara, bersama membina negara dalam kerajaan adalah pilihan yang lebih baik daripada terus bermusuhan dari segi politik dan bermusuh juga dengan satu pihak menjadi kerajaan dan satu pihak lagi menjadi pembangkang.

Sebagaimana musuh DAP adalah MCA, musuh UMNO yang sebenar ialah parti Melayu seperti Bersatu yang bukan saja mahu merampas banyak kawasan Melayu yang biasa ditandingi UMNO, malah merupakan halangan terbesar kepada parti itu untuk mendapatkan balik kerusi Perdana Menteri.

Berbeza dengan DAP, oleh kerana kawasan Cina kurang berbanding kawasan Melayu, parti itu tidak mengancam survival UMNO dan kerusi Perdana Menteri yang dikejarnya.

Seperti sudah ramai orang Melayu suka makanan Cina serta dim sum dan ramai orang Cina pula gemar masakan Melayu serta hidangan pedas-pedas, berdamai dan bersama dalam kerajaan dengan masing-masing harus sedia berlapang dada dan melakukan penyesuaian tidak harus lagi dilihat sebagai imaginasi atau seperti takutkan hantu.

 (Shahbudindotcom 23/10/2020)



No comments: