Ada sesuatu yang mengubah Zahid Hamidi, telah AMANAH

 

Ada sesuatu yang mengubah Zahid Hamidi, telah AMANAH
Kalau dia (Umno) bersama Muhyiddin, Muhyiddin jadi kerajaan walau hanya dengan 113 ahli Parlimen. Kalau Umno dengan Anwar pula, dia boleh bentuk kerajaan dengan jumlah 130 sokongan, jangka Khalid.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad mengandaikan sesuatu telah berlaku sehingga Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatan politik dan menyeru ahlinya memperkukuh sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, kemungkinan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjanji untuk memenuhi beberapa syarat yang dikemukakan Umno.

Namun katanya, untuk tidak menunjukkan beliau tunduk dengan desakan parti itu yang dikatakan menuntut rombakan Kabinet, maka perkara itu tidak akan dilakukan buat masa sekarang.

“Mungkin apa yang dimohon (Umno) dipersetujui. Walaupun tak ada rombakan kabinet buat masa ini, tapi tak mustahil akan dilakukan kemudian kerana mahu menjaga air muka.

“Tetapi disebabkan Muhyiddin nak tunjuk yang dia tak tunduk dengan desakan Umno, maka ianya akan dilaksanakan sebulan atau dua bulan kemudian. Ini semua andaian-andaian yang kita boleh kaji.

“Tetapi hakikatnya, Zahid keluar kenyataan (menyokong PN), menggambarkan ada sesuatu telah berubah yang akhirnya mereka sanggup untuk membuat gencatan politik sedangkan sebelum itu mengasak Muhyiddin,” katanya dalam wawancara bersama Jom Channel malam tadi.

GAMES OF THRONES MALAYSIA

Dalam pada itu, veteran DAP Lim Kit Siang juga mempersoalkan mengapakah Zahid telah tunduk sepenuhnya sebegitu pantas sekali, hanya selepas 30 hari Game of Thrones Malaysia.

“Dan semua ini berlaku pada hari di mana kita dapat melihat “cahaya di penghujung terowong”, selepas empat hari berhadapan dengan berita buruk dengan peningkatan harian melebihi 800 kes sehari,” kata Kit Siang.

Mungkin bukan satu kebetulan, katanya, yang kenyataan Zahid ini dikeluarkan hampir pada masa yang sama dengan mengumumkan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Pejabat Pendakwa Raya mengenai kes pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Khairudin Aman Razali.

“Mungkin pimpinan Umno telah mendapati yang mereka tidak akan mendapat sokongan daripada Pas dalam Game of Thrones ini, dan jika perkara ini berlaku, mereka tidak boleh menjangka sokongan Pas mahupun blok Parlimen Umno untuk bersatu teguh menyokong apa-apa sahaja keputusan Zahid dan Najib Razak secara membuta tuli,” katanya.

UMNO KING MAKER

Membincangkan topik ‘Umno dari kecundang ke King Maker’, Khalid mengakui parti itu kini mempunyai kedudukan istimewa yang menjadikan Umno yang kalah pada Pilihan Raya yang lalu, akhirnya menjadi King Maker dalam pembentukan kerajaan.

Menurutnya, jumlah ahli Parlimen Umno seramai 39 orang menjadi penentu sama ada menyokong Muhyiddin terus berkuasa atau mengalih sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun ujar Khalid, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh menjadi King Maker oleh kerana jumlah ahli Parlimen yang tidak cukup untuk kedua-dua pihak (Anwar dan Muhyiddin) membentuk kerajaan.

Apa yang berlaku kata Khalid, berpunca dari tindakan Muhyiddin dan Menteri Kanannya sendiri iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sehingga Umno mempunyai kuasa untuk mengugut dan mendesak agar kehendak mereka dipenuhi.

“Kalau dia (Umno) bersama Muhyiddin, Muhyiddin jadi kerajaan walau hanya dengan 113 ahli Parlimen. Kalau Umno dengan Anwar pula, dia boleh bentuk kerajaan dengan jumlah 130 sokongan.

“Tetapi GPS dan Pas tak boleh, mereka takcukup angka. Umno boleh. Jadi ini lah yang meletakkan Umno dalam situasi yang istimewa sebagai King Maker.

“Dan ini merupakan satu situasi yang dihasilkan oleh Muhyiddin dan Azmin di mana pada akhirnya Umno berkuasa menentukan, mengugut, mendesak, dan menggunakan kedudukan istimewa agar kehendak mereka dipenuhi,” katanya lagi.


No comments: