RUNDINGAN YA..KOMPROMI TIDAK.

 

Pakatan Harapan menang dalam PRU yang lalu atas prinsip yang diperjuangkan sejak sekian lama. Parti komponen dan kepimpinan masing-masing yang kekal setia dalam PH teruji kerana mempertahankan prinsip perjuangan.

2. Tidak dapat dinafikan, jalan panjang dan berliku DSAI diterima umum sebagai satu perjalanan politik yang sukar. Semua ini adalah kerana mempertahankan maruah dan prinsip. Tanpa Maruah dan Prinsip bukanlah DSAI namanya.

3. Prinsip yang dimaksudkan adalah tentang Prinsip Ketelusan, Integriti dan Keadilan yang membentuk kerajaan yang bertanggungjawab. Hasrat ini telah menyatukan parti komponen PH mereka sebulat suara menolak Rasuah, Kebencian Kaum dan Agama serta mempertahankan Prinsip Demokrasi dan Kebebasan sebagai keutamaan.

4. Seruan prinsip ini menggamit sokongan rakyat sepanjang kewujudan BA, PR dan PH sehinggalah PH diberi kepercayaan untuk menjadi kerajaan atas faktor prinsip yang dijanjikannya kepada pengundi.

5. BN dari Umno dan komponennya ditolak kerana tidak cukup kuat seruan prinsip di atas apatah lagi dengan kes-kes rasuah dan skandal yang dilaluinya menjadi pertikaian rakyat kepada ketahanan integriti pemimpin Umno. Sangat jelas UMNO hilang aura prinsip ini dan taring untuk mempertahankannya.

6. Tumbangnya PH setelah 22 bulan jadi kerajaan bukan kerana PH hilang prinsip-prinsip ini, tetapi berlaku ‘korek lubang’ dari dalam dengan ‘scheme of things’ TS Mahyudin Yasin dan sekutu subhatnya DS Azmin dan kroni mereka. Lahirlah Perikatan Nasional (PN) atas ‘janji palsu pensejajaran semula politik nasional’ kononnya.

7. PAS dan UMNO melihat ini peluang bagi Muafakat Nasional yang ditubuhkan sebelum ini untuk kukuhkan kedudukan mereka dengan menyokong langkah Sheraton. Habuan ‘ghanimah’ sebagai kerajaan sangat menduga Umno dan PAS sebagai umpan sokongan berterusan kerajaan ‘scheme of things’ TS Mahyudin. Malangnya setelah jadi kerajaan, Muafakat dan Perikatan tidak bertemu keserasian, manakala PAS pula bermain ‘kayu tiga’ dengan PN kerana ‘tergoda’ dengan kilauan donia alam kuasa.

8. PN dan MN bertemu atas habuan ghanimah dan umtuk ambil kesempatan kukuhkan kedudukan masing-masing, tiada isu prinsip yang boleh dikaitkan antara mereka kecuali retorik Melayu/Islam yang destruktif untuk menggamit sokongan!

9. DSAI diberi kepercayaan oleh Majlis Presiden PH untuk memimpin kecelaruan politik ‘scheme of things’ Mahyudin supaya dibuat pensejajaran semula yang hakiki agar kembali kepada jalur politik prinsip. Jalur ini jika terus dipesongkan oleh PN + MN boleh menjejas kepentingan nasional dan usaha pemulihan ekonomi pasca covid 19.

10. DSAI telah ‘bertungkus lumus’ bersama rakan teras PH sepanjang pasca kejatuhan PH untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang baru dinikmati oleh rakyat selama 22 bulan PH jadi kerajaan. Di Parlimen pasca PH sebagai kerajaan, asas pemulihan dan reform dipertahankan seperti pemulihan TH, tender terbuka dan ketelusan agihan bantuan rakyat yang diamalkan sebelum ini.

11. Saya yakin, untuk bersikap praktikal dalam proses ini, kunci utama kejayaan DSAI ialah berunding dan terus berunding dengan semua pihak. Rundingan adalah untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang deminya DSAI dan PH diberi kepercayaan.

12. Debaran semua pihak tentang perincian siapa yang mencukupkan bilangan majoriti yang dimiliki oleh DSAI semakin memuncak. Saya hanya boleh berkata setakat ini, apa sahaja hasil yang berlaku, DSAI telah BERUNDING demi prinsip kerana prinsip adalah ruh dan nyawa PH. DSAI dan rakan-rakan PH tidak mungkin BERKOMPROMI untuk mencapai hasil rundingan jika ‘nyawa’ DSAI dan PH terancam!

Semoga usaha pensejajaran semula yang hakiki berjaya dan mandat rakyat dikembalikan kepada yang empunya!

Datuk Ser Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

25hb September 2020.

No comments: