PRN Sabah: Penyokong USNO Baru dialu-alukan undi calon KEADILAN

 


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada kerjasama rasmi dengan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Baru, namun menyeru penyokongnya supaya mengundi calon KEADILAN.

 Ini berikutan wujud khabar angin yang mengatakan bahawa terdapat kerjasama antara KEADILAN dan USNO Baru bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Saifuddin berkata, walaupun KEADILAN tidak mempunyai kerjasama rasmi dengan USNO Baru, para pemimpin dari kedua-dua parti itu mempunyai hubungan yang erat.

 "Kalau ada hubungan dengan USNO sekalipun, ia hanya hubungan peribadi antara pemimpin kami dengan mereka yang ada sejarah, contohnya presidennya Pandikar Amin Mulia yang sudah lama berkhidmat sebagai speaker.

 "Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kenal dan rapat dengan beliau, tetapi dalam konteks PRN Sabah, kami adalah sekutu penting Warisan Plus," katanya ketika ditemui media.

 Pada masa sama, Saifuddin menafikan bahawa hubungan antara kedua-dua parti itu wujud kerana gagal mendapatkan jumlah kerusi yang diinginkan sebelum ini.

 "Tidak timbul sama sekali. Kami dan Anwar berada dalam rundingan sehingga sebelum penamaan calon.

 "Kerjasama penting antara Warisan, DAP, UPKO dan Amanah. Sebagai sekutu penting fokus kami adalah memenangkan calon-calon dibawah panji Warisan Plus.

 "Kami beri komitmen dan dokongan serta kerjasama dengan sekutu, jadi perkara ini tidak berbangkit," katanya.

 Namun beliau tetap menyeru penyokong USNO Baru supaya mengundi calon KEADILAN.

 Saifuddin berkata meskipun calon dari kedua-dua parti itu bertembung pada PRN Sabah, beliau menganggap setiap undi adalah penting.

 "Saya seru penyolong USNO supaya beri undi kepada calon KEADILAN di kawasan parti mereka tidak bertanding dan beri sokongan kepada kita.

 "Dalam kempen pilihan raya, kita merayu orang, setiap undi adalah penting, tidak kira ada parti atau tidak berparti, ataupun ahli USNO, UMNO, PBS dan STAR sekalipun, mereka bebas memilih kerana undi adalah rahsia.

 "Jadi saya ambil peluang ini untuk meminta mereka sokong calon KEADILAN," katanya.

 


No comments: