BERLAKUKAH TSUNAMI POLITIK DI SABAH?





 Oleh: Redzuan Shamsudin

 

Persoalan utama selepas kempen bermati-matian parti-parti politik di Sabah selama dua minggu, menuju hari pengundian pada 26 September ini adalah apakah akan berlakukah tsunami politik?

 Jawapan itu tidak mudah ditemukan oleh pihak-pihak yang membuat tinjauan berikutan 16 parti bertanding merebut 73 kerusi DUN. Lebih menyukarkan keadaan, politik di Sabah masih dipengaruhi tokoh-tokoh veteran yang menjadi godfather atau penaung kepada masyarakat setempat.

 Misalnya calon di DUN Pintasan, Pandikar Amin Mulia yang menyertai parti kecil USNO merupakan bekas Ketua Penerangan Umno dan masih berpengaruh dalam politik. Begitu juga Anifah Aman yang mencuba nasib menyertai Parti Cinta Sabah dan bertanding di DUN Bogawan, masih dianggap tokoh Umno yang dihormati.

 Tidak mustahil biar pun parti mereka kalah teruk tetapi ketuanya yang merupakan orang lama dalam politik akan menang dan menjadi wakil rakyat di DUN Sabah.

 

Sokongan terbelah dua

 

Namun secara kasar sokongan boleh dikatakan terbelah dua di antara gabungan Perikatan Nasional (PN) – BN dan Warisan – Pakatan Harapan (PH). Parti-parti kecil lain atau parti baharu pula diramal hanya mendapat sokongan berbaki dari kedua-dua gabungan besar berkenaan.

 Dari segi naratif kempen hanya ada dua isu yang menjadi fokus utama pengundi, iaitu memilih kerajaan Sabah yang diperintah oleh anak negeri tanpa campurtangan Persekutuan atau pemerintahan mengikut telunjuk Putrajaya bagi mendapatkan lebih banyak peruntukan.

 Kedua-dua naratif mempunyai kekuatan tersendiri. Terutama di sebelah Barat Sabah, pengundi sub bandar dan kampung lebih mengutamakan parti-parti Semenanjung yang terdiri dari BN dan PN. Manakala di Pantai Timur Sabah, kawasan kubu kuat Warisan, pengundi menolak konsep campurtangan Persekutuan dan mempertahankan kerajaan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

 Hujah Warisan dalam siri kempen mereka amat jelas. Sabah sejak 1963 telah diperintah oleh parti pro Semenanjung dan pada 1990an Umno dibawa masuk serta memerintah secara pengaruh langsung dari Kuala Lumpur.

 Namun berbanding Semenanjung, pembangunan di Sabah terhad. Biar pun merupakan pengeluar petroleum kedua besar di Malaysia, insiden kemiskinan di negeri itu paling buruk. Sabah juga pengeluar kayu balak terbesar. Malangnya pemimpin politik dan pemodal menjadi kaya-raya sedangkan rakyat bawahan tidak mendapat kemudahan asas minimum.

 Contoh paling mudah, Sabah hanya mempunyai 10,000 km jalan berturap sementara Semenanjung mempunyai 131,000 km jalan berturap. Berbilion ringgit hasil bumi Sabah dicukai dan wang itu tidak dipulangkan sebagai peruntukan pembangunan.

 Sedangkan mengikut perjanjian pembentukan Malaysia, wilayah Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi sama taraf dengan Semenanjung. Mengikut perjanjian itu juga, Tanah Melayu tidak memberi subsidi kepada Borneo Utara dari segi pembangunan, sebaliknya Tanah Melayu akan mendapat 60% sementara Sabah mendapat 40% wang mereka sendiri untuk pembangunan.

 

Bakar semangat kekalkan Warisan

 

Hujah ini menjadi pembakar semangat kepada rakyat Sabah yang dinafikan hak pembangunan buat sekian lama untuk mengekalkan pemerintahan Warisan. Sementelah Shafie pula telah melakukan perubahan besar dengan menubuhkan tiga kementerian untuk membawa perubahan bermakna, seperti Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta Kementerian Hal Ehwal Anak Negeri. Selain itu, beliau juga telah mencukai syarikat perlombongan yang mana dana tersebut digunakan untuk pembangunan negeri.

 

Populariti Shafie meningkat mendadak lewat polisi pemberian Geran Tanah kepada penduduk. Beliau turut memansuhkan Geran Komunal dan memulihkan pajakan tanah yang sebelum ini dikurangkan menjadi 99 tahun setelah mahkamah Borneo memutuskan bahawa ianya harus dikekalkan pada 999 tahun. Shafie mengumumkan sebahagian besar hak milik tanah yang telah tamat tempoh pajakannya boleh diperbaharui dengan premium minimum.

 Polisi ini mendapat sokongan meluas penduduk di luar bandar kerana ketika era BN geran tanah jarang sekali diperolehi penduduk. Tanah-tanah kerajaan adalah hak ketua menteri mengagih-agihkan kepada kroni atau kepada syarikat perladangan.

 Dengan perubahan yang bermakna, kerajaan Shafie berusia dua tahun itu telah mendapat pujian dan pujaan pengundi. Ke mana sahaja Shafie pergi dalam ceramah dan kempen politiknya beliau disambut oleh penduduk tempatan dengan meriah.

 

Bagi yang tidak biasa dengan politik Sabah yang mana kurang sekali penyokong setia dan sokongan politik boleh berubah-ubah melalui pemberian wang atau hadiah, sokongan padu yang ditunjukkan kepada Shafie boleh dianggap sebagai bayangan awal kemenangan Warisan pada 26 September.

 

Sokongan melimpah kepada KEADILAN

 

Sokongan tidak hanya terhad kepada Shafie atau calon Warisan malah ditunjukkan juga kepada parti sekutu asal Semenanjung.

 

Misanya jelajah Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di 7 DUN yang ditandingi parti itu mendapat sokongan padu. KEADILAN tidak menyediakan hadiah kepada penduduk setempat untuk hadir namun kehadiran sejumlah besar penyokong di tengah-tengah ancaman Covid 19 amat mengujakan. Ditambah pula kawasan di mana KEADILAN bertanding terletak di Pantai Barat Sabah dan merupakan kubu Umno – BN sebelum ini.

 Oleh itu, satu rumusan boleh dibuat bahawa riak-riak tsunami telah kelihatan di Sabah. Apatah lagi kesilapan Muhyiddin dalam kempen yang dikepalai beliau seolah-olah mengugut rakyat Sabah sekiranya mahukan lebih banyak peruntukan maka jalan terbaik adalah mengundi PN.

 Naratif itu juga dibawa oleh pemimpin-pemimpin Bersatu yang berasal dari Semenanjung, mendedahkan Shafie mengutus surat kepada pentadbiran Dr Mahathir meminta peruntukan untuk Sabah. Ditohmah kononnya Sabah tidak mungkin boleh survive tanpa sokongan Putrajaya.

 Kempen menyakitkan hati orang Sabah itu mungkin menatijahkan penyudah tidak baik kepada PN. Apatah lagi rakyat Sabah yang baru sahaja dalam proses pemulihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan tidak begitu selesa dipaksa menghadapi Pilihan Raya Negeri lewat cubaan rampasan kuasa arahan Semenanjung yang gagal.

 Dengan janji calon-calon Warisan – PH berintegriti dan hanya ada satu calon Ketua Menteri bagi Sabah, iaitu Shafie Apdal, berbanding dua atau tiga calon bagi parti lawan maka tidak mustahil tsunami politik akan berlaku pada 26 September ini.

 Sekiranya hal itu berlaku, maka politik Sabah mungkin akan memberi kesan besar ke atas politik Malaysia. Kerajaan PN di Putrajaya berkemungkinan besar tidak selamat.

 Gabungan Politik Sarawak mungkin akan mencari sekutu baharu bagi mengelakkan tsunami Sabah menyeberang sempadan. Begitu juga Umno yang baru-baru ini presidennya Dr Zahid Hamidi telah mengesahkan beliau tidak akan menghalang Ahli-ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar, akan lebih padu menyokong sebarang perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

 

 

No comments: