BAIK BUNG MOKHTAR ATAU HAJIJI KEDUDUKAN MUHYIDDIN SEBAGAI PM TETAP TERGUGAT

 

Siapa bakal menjadi Ketua Menteri Sabah sehingga ini masih lagi tidak dapat dipastikan dan bila majlis angkat sumpah akan berlangsung juga tidak diketahui.

BN dan Perikatan Nasional (PN) Sabah dikatakan gagal mencapai kata sepakat berhubung calon Ketua Menteri, walaupun setelah bermesyuarat selama dua jam untuk membincangkannya.

Kedua-duanya, BN dan PN tetap berkeras dengan calon masing-masing iaitu Bung Mokhtar Radin dan Hajiji Noor untuk jawatan tersebut.

Setelah pertemuan selama kira-kira dua jam di sebuah hotel di Kota Kinabalu yang turut dihadiri pemimpin GRS yang lain – kedua-dua calon, Bung Mokhtar dan Hajiji kemudian mengambil keputusan menuju ke Istana Negeri selepas memutuskan untuk menyerahkan soal perlantikan Ketua Menteri Sabah itu kepada TYT Sabah, Juhar Mahiruddin membuat penentuan.

Bung Mokhtar dilaporkan berkata, “Tunggu TYT putuskan” manakala Hajiji dilihat keluar daripada mesyuarat lebih awal dan enggan memberi sebarang komen.

Begitu pun, selepas menemui Bung Mokhtar dan Hajiji, TYT Sabah dikatakan meminta diberikan sedikit masa untuk membuat keputusan, tetapi berjanji akan melakukannya secepat mungkin.

Ini bermakna, isu perlantikan Ketua Menteri Sabah terus menjadi teka-teki untuk suatu tempoh masa yang tidak diketahui tempohnya.

Antara Bung Mokhtar dan Hajiji, siapakah yang akan jadi pilihan TYT?

Dalam soal ini, UMNO mungkin gembira jika Bung Mokhtar yang menjadi pilihan TYT, begitu juga bagi Bersatu, mereka juga pastinya suka ria jika Hajiji yang diberi keutamaan.

Tetapi, kepada Muhyiddin Yassin, siapa pun yang dilantik, ia tetap merupakan ancaman serta gugatan kepada kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang ketika ini pun beliau seperti sudah berada di atas bara api dengan jawatan itu.

Walaupun ada khabar mengatakan Shafie Apdal mungkin dilantik semula, pandangan tersebut sebenarnya sukar diterima memandangkan GRS yang diwakili PN, BN dan PBS sudah jelas memperolehi majoriti 38 kerusi daripada keseluruhan 73 kerusi yang dipertandingkan.

Pertimbangan setakat ini hanyalah antara Bung Mokhtar dan Hajiji.

Jika Bung Mokhtar yang dilantik, ini sudah tentu amat mengecewakan Muhyiddin kerana beliau sejak awal telah menonjolkan Hajiji.

Dengan terlantiknya Bung Mokhtar yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Ketua Menteri juga seperti memberi laluan kepada Zahid Hamidi untuk melakukan kemunculan semula dirinya selepas PRU akan datang.

Dalam pertimbangan Zahid Hamidi, jika Bung Mokhtar boleh jadi Ketua Menteri, maka tidak ada sebab beliau tidak boleh melakukan kemunculan merebut jawatan Perdana Menteri sekiranya kedudukannya sebagai Presiden UNNO masih kekal ketika PRU diadakan nanti.

Dalam erti kata lain, jadinya Bung Mokhtar sebagai Ketua Menteri adalah laluan dan duluan untuk Zahid Hamidi mencabar kedudukan Muhyiddin.

Sekiranya Hajiji pula yang dilantik, ini sudah tentu akan menambah-renggangkan lagi hubungan UMNO dengan Bersatu dan Zahid Hamidi dengan Muhyiddin.

Gagal meletakkan UMNO mendapat jawatan Ketua Menteri merupakan alasan tambahan untuk Zahid Hamidi dan UMNO meneruskan sokongannya kepada Anwar Ibrahim, tidak kira sama ada akhirnya tindakan itu akan menjadikan Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri atau berkesudahan dengan pilihanraya semula terpaksa diadakan.

Kesimpulannya, meski menang PRN Sabah, kemudian berbalah tentang jawatan Ketua Menteri, tetapi siapa pun yang terpilih mengisi jawatan itu, Muhyiddin tetap diasak dan terasak yang akan menjadikan kedudukannya semakin tergugat serta tidak selamat.

 (Shahbudindotcom 27/09/2020)




No comments: