‘Kerajaan PN jadikan jawatan GLC ganjaran politik kekalkan kuasa’


Kenyataan Akhbar oleh Setiausaha Agung DAP merangkap ahli Parlimen Bagan, Saudara Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 13.8.2020
Penjelasan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa melantik ahli politik untuk mengetuai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dapat membantu memberikan “semak dan imbang” supaya GLC dan Badan Berkanun selari dengan dasar dan aspirasi Kerajaan, bertentangan dengan tadbir urus korporat yang baik . Kerajaan sekarang telah menukar semula dasar PH untuk tidak melantik ahli politik ke GLC.
PH hanya melantik ahli politik untuk berkhidmat di Badan Berkanun yang bertanggungjawab sebagai regulator ataupun badan kawalselia. Badan Berkanun umumnya tidak terlibat dalam perniagaan dan mempunyai kontrak terhad untuk ditawarkan daripada segi skop dan saiz. Melalui pemerhatian, pengurusan atau prestasi GLC tanpa ahli politik di bawah PH berbanding GLC dengan ahli politik di bawah BN, GLC yang diketuai atau terdiri daripada pengarah ahli politik pada umumnya tidak bersungguh dalam memastikan tadbir urus korporat yang baik, terutama dalam menghukum penyelewengan kewangan atau salahlaku.
Melantik ahli politik sebagai pengarah dan pengerusi GLC kerana ada “kesesuaian dan kewajaran” dengan kepakaran, pengalaman, integriti, dan bertanggungjawab adalah tidak masuk akal, kerana ahli politik sudah pasti tidak lebih mahir atau berpengetahuan daripada golongan pakar atau profesional. Sudah diketahui umum bahawa ahli politik mempunyai keutamaan yang berbeza ketika mereka berada di GLC, dibandingkan dengan pengarah profesional dan pakar yang fokus pada peningkatan prestasi syarikat.
GLC masih boleh digesa untuk mematuhi dasar kerajaan melalui arahan Menteri atau kehadiran pegawai kanan Kementerian yang dilantik sebagai pengarah. Justeru, tiada keperluan melantik ahli politik untuk memastikan bahawa dasar Kerajaan dipatuhi.
Kerajaan PN sekarang telah menjadikan pelantikan Ahli Parlimen ke dalam GLC sebagai satu bentuk ganjaran politik untuk mengekalkan kekuasaan mereka yang rapuh dengan majoriti parlimen sekadar dua kerusi. Setakat ini, 17 lantikan sedemikian telah dibuat. Walaupun Ahli Parlimen ini akan menikmati kelebihan dan keistimewaan jawatan di GLC, bagaimana pula lantikan mereka ini akan memberi manfaat kepada GLC?
Adakah pengarah atau pengerusi GLC daripada ahli politik masih akan membongkar atau menyiasat banyak kesalahan kewangan yang didedahkan oleh pengarah professional GLC di bawah PH semasa 22 bulan sebelum ini? Adakah GLC dapat menumpukan perhatian untuk meningkatkan prestasi korporat GLC, untuk memastikan bahawa ia adalah penjaga dana awam yang boleh dipercayai dan boleh diharapkan yang melibatkan puluhan bilion Ringgit yang memberi faedah kepada rakyat?
Atau adakah GLC hanya akan digunakan sebagai alat politik dan untuk menaja makan tengah hari mewah berharga RM6,525 untuk Ahli Parlimen Kerajaan, seperti yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Batu, Prabakaran, dengan pembaziran begitu banyak makanan sehingga perlu dibungkus pulang? 


No comments: