PH Kembali Sepakat: Mahathir dan Warisan Perlu Dirapat! Oleh: Muhammad Hafez Darwis


Parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan sudah pun kembali merapatkan barisan mereka. PKR, AMANAH dan DAP kini nampak lebih kemas dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya pilihanraya mengejut setelah selesai mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

Sesudah melalui fasa hubungan yang "panas" berpunca daripada persoalan siapakah calon PM Malaysia, kepimpinan utama PH kini kembali sepakat memperkemaskan rumah yang telah dibina bersama itu.

Mereka sepakat menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon PM. Anwar juga diberi mandat untuk berbincang dengan semua pihak bagi mendapatkan kembali mandat PRU14 yang dirampas oleh PN melalui pintu belakang. Ini adalah langkah tepat. Untuk mendapatkan kembali mandat yang dirampas itu kawan perlu diramaikan, musuh perlu dikurangkan.

Setelah rumah sendiri kembali kukuh, maka usaha-usaha untuk memeluk mereka yang di luar rumah tetapi punya aspirasi yang sama perlu dijalankan dengan giat dan cermat.

Plus yang terdiri daripada Parti Bersatu kumpulan Mahathir dan Parti Warisan di Sabah bukanlah musuh. Mereka harus dianggap sebagai rakan seperjuangan yang sama-sama mahukan kerajaan pintu belakang pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang.

Dari sudut sejarahnya juga Parti Bersatu adalah sebahagian daripada komponen parti-parti yang membentuk PH. Bersatu ditubuhkan untuk melawan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO pada PRU-14 yang lalu. Namun, akibat daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh Muhyiddin Yassin, beliau kemudiannya membawa Parti Bersatu kumpulan beliau untuk keluar daripada PH.

Begitu juga dengan Parti Warisan Sabah yang turut menjadi sekutu utama kepada PH dalam PRU-14 yang lepas. Kerjasama antara parti-parti komponen PH bersama Warisan di PRU-14 yang lepas telah membolehkan UMNO dan Barisan Nasional di Sabah akhirnya tumbang.

Walau pun Parti Bersatu kumpulan Mahathir dan Parti Warisan di Sabah sekarang berada di luar kerangka rasmi PH tetapi mereka adalah kawan seperjuangan yang perlu dirapati, diperkukuhkan hubungan dan diajak bersama-sama di dalam usaha untuk mendapatkan kembali mandat PRU14 yang dirampas oleh PN.

Dan buat Mahathir pula, jika sekiranya beliau benar-benar ikhlas untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin Yassin, maka seharusnyalah beliau memberi sokongan dan dukungan beliau kepada PH dan bersama-sama membantu PH mendapatkan seramai mungkin anggota parlimen bagi mengemukakan undi tidak percaya buat Muhyiddin Yassin.

Apakah Mahathir ikhlas atau tidak, ini boleh ditentukan melalui keputusan beliau sama ada mahu bersama PH atau menolak kerjasama dengan PH.

Kalau sekiranya Mahathir memilih untuk tidak berkerjasama dengan PH maka kita semua akan tahu bahawa yang sebenar-benarnya tujuan Mahathir bukanlah mahu menjatuhkan kerajaan PN untuk mendapatkan kembali mandat rakyat tetapi cuma sekadar mahu menghalang Anwar daripada menjadi PM Malaysia.

Walau bagaimana pun jika Mahathir memutuskan untuk bersama-sama PH, maka beliau harus menerima dengan ikhlas dan komited menghormati keputusan PH mencalonkan Anwar sebagai PM dan tidak lagi membuat keputusan secara sendirian tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Presiden PH sebagai rakan bersama.

Ini adalah antara syarat yang perlu dirundingkan oleh PH dengan Mahathir supaya episod hubungan "panas" antara parti-parti komponen di dalam PH tidak berulang kembali.

Manakala Warisan pula sebagai sebuah parti yang telah bersama-sama PH sejak PRU14 dan merupakan kerajaan yang memerintah negeri Sabah adalah kawan yang sangat diperlukan. Sokongan dan dukungan Warisan adalah sangat penting bukan sahaja di dalam konteks undi tidak percaya kepada Muhyiddin tetapi sebagai suatu jambatan penghubung antara Semenanjung dan Sabah. Tanpa Sabah tiada Malaysia. Tanpa Warisan, PH takkan mungkin mampu untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas oleh PN sama ada melalui undi tidak percaya atau pilihan raya mengejut.

Justeru, Plus yang diwakili oleh Parti Bersatu kumpulan Mahathir dan Parti Warisan yang dipimpin oleh Shafie Apdal perlu dirangkul dan dipeluk oleh PH sebagai rakan seperjuangan khususnya dalam usaha untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Muhyiddin Yassin di sidang parlimen pada 13 Julai 2020 nanti.

Malahan kerjasama dengan mereka yang di luar kerangka PH dan PH Plus juga patut diteroka asalkan mereka yang ingin bersama itu bersetuju dengan prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan, pro-kebajikan rakyat dan anti-rasuah dijadikan dasar bersama.

Oleh kerana itu, kerja-kerja menyambung kembali dan memperkukuhkan jambatan antara PH dan Plus serta mereka yang berkongsi aspirasi bersama perlu dilakukan dengan segera, giat dan cermat demi mendapatkan kembali mandat rakyat yang telah dirampas oleh PN melalui pengkhianatan "Langkah Sheraton".

Meramaikan kawan, mengurangkan musuh, membina jambatan baru dan memastikan jambatan lama kemas terurus serta rumah bersama terus diperkukuh adalah jalan yang lebih strategik buat PH untuk kembali ke Putrajaya.

No comments: