Pelantikan Shabudin bukti kerajaan PN kurang faham isu wanita



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat mempunyai pemahaman yang amat rendah terhadap isu keganasan rumahtangga dan jenayah seksual di kalangan wanita, tegas Ahli Jawatankuasa DAP Wanita Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid.
Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Shabudin Yahaya, yang sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang merendahkan martabat wanita, sebagai Timbalan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen.
“Kita telah menyaksikan terlalu ramai pemimpin lelaki mahupun wanita mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan wanita.
“Rakyat masih ingat peristiwa di mana pentadbiran PN telah mencadangkan wanita menggunakan suara Doraemon untuk bercakap dengan suami dan banyak bersolek,” kata yang juga Adun Seri Delima dalam satu kenyataan.
Tegasnya, pelantikan ahli politik yang tidak memahami keadaan semasa tidak membantu memajukan keadilan sosial dan hak asasi manusia.
Tambahnya, Malaysia tidak akan menjadi negara maju sekiranya pemimpin masih mempunyai pemikiran lama dan tidak mengangkat martabat wanita.
Syerleena merujuk ucapan Shabudin dalam satu perbahasan Parlimen pada 2017 di mana beliau dipetik sebagai berkata:
“Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin [dengan perogol] dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.
“Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku.”
Mengulas lanjut, Syerleena yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang berkata, negara memerlukan tokoh yang menunjukkan teladan yang baik.
“Kenyataan Shabudin itu amatlah tidak menyakinkan wanita.
“Dasar yang melindungi martabat wanita, selari dengan nilai-nilai universal, sepatutnya digubal dan diangkat secepat mungkin tanpa melengahkan masa lagi,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu, turut melontarkan persoalan kepada wakil rakyat PN mengenai pelantikan Shabudin.
“Adakah anda semua tidak berasa apa-apa dengan pelantikan ini? Adakah anak-anak perempuan kita akan lebih selamat dengan seorang timbalan menteri undang-undang yang mempunyai pemikiran sebegini? Tepuk dada tanya selera,” katanya.


No comments: