MUHYIDDIN TIDAK DIPERLUKAN DALAM MN,MAHATHIR TIDAK DIPERLUKAN DALAM PH



Walaupun sokongan kepada Muhyiddin Yassin untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri telah dizahirkan oleh UMNO dan Pas, tetapi ramai yang percaya ia hanyalah untuk jangka masa pendek saja.
Dipercayai, sokongan itu lebih bertujuan membantu Muhyiddin berdepan usul undi tidak percaya di Parlimen semata-mata.
Sebaliknya, untuk jangka masa panjang atau berdepan PRU15 akan datang, tiada lagi sokongan daripada UMNO dan Pas terhadap Muhyiddin.
Sebagaimana yang dizahirkan oleh majoriti pemimpin UMNO sebelum ini, kerjasama mereka dengan Muhyiddin dan Bersatu tidak lebih sehingga PRU15 dan hanya untuk memastikan kestabilan kerajaan PN yang dibentuk sekarang tidak tergugat.
Dalam hal ini, kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU akan datang adalah suatu pandangan realistik dan iujur sejujur-jujurnya.
Menurut Ku Li, bekerjasama dengan Bersatu bukan saja akan menimbulkan masalah dari segi pembahagian kerusi, malah boleh membuatkan UMNO hilang kedudukan dominannya dalam kerajaan.
“Bersatu tak sepatutnya ada pun (dalam kemungkinan itu). Ahli-ahli UMNO berasa bahawa kerjasama yang harus berlaku hanya melalui Muafakat Nasional – PAS, UMNO dan dengan rakan-rakan tradisi BN iaitu MCA dan MIC.
“Begitu, barulah tidak akan ada masalah agihan kerusi.
“Tapi kalau dibawa Bersatu, UMNO mungkin akan berdepan keputusan pilihanraya yang menyebabkan kita berada dalam situasi ‘tergantung’ sekali lagi – tiada yang ada kedudukan dominan dan tiada yang mempunyai majoriti jelas.
“Kemudian, kita akan berdepan situasi yang sangat tidak stabil,” jelas Ku Li lagi.
Berdasarkan kenyataan Ku Li itu dan kedudukan MN yang ada UMNO, Pas, MCA dan MIC di dalamnya, ia sebenarnya adalah gabungan yang sudah sempurna untuk mereka berdepan dengan PH dan seterusnya bagi mengejar impian menjadi kerajaan semula.
Bersatu dan Muhyiddin tidak diperlukan lagi oleh MN atau PN perlu diwujudkan secara rasmi sebagai sebuah entiti baru, walaupun ketika ini Presiden Bersatu itu adalah Perdana Menteri dan kerananyalah UMNO dapat kembali jadi kerajaan.
Namun, harus juga disedari, tanpa sokongan UMNO dan BN, Muhyiddin pun tidak mungkin dapat jadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, dalam menghadapi PRU akan datang, berbanding membantu, kehadiran Bersatu lebih banyak menyulit dan menimbulkan masalah kepada UMNO.
Yang paling masalah, tentunya apabila ada Bersatu dan Muhyiddin dalam sebuah gabungan kerjasama, UMNO terpaksa melupakan hasratnya untuk meletakkan calon parti itu sendiri sebagai Perdana Menteri.
Mahu tidak mahu, terpaksalah berketuakan Muhyiddin lagi.
Sediakah pemimpin-pemimpin UMNO, terutama mereka yang lapar kerusi Perdana Menteri, menerima situasi itu?
Dalam konteks berkaitan, kedudukan MN boleh dikira sudah seimbang dengan PH yang bakal dihadapi mereka dalam PRU15 nanti.
Jika MN ada UMNO, Pas, MCA dan MIC di dalamnya yang sudah merangkumi pelbagai kaum, PH yang mempunyai PKR, DAP dan Amanah juga dalam kedudukan yang sama.
Jika salah satunya menjadi kerajaan, mereka adalah gabungan yang tidak cacat serta bersesuaian dengan kemajmukan kaum di negara ini.
Makna kata, sebagaimana Muhyiddin dan Bersatu tidak diperlukan dalam MN, Tun Mahathir Mohamad dan kumpulannya juga tidak diperlukan dalam PH, apa lagi melihat karenah Tun Mahathir yang tak habis-habis merasakan hanya dirinya saja layak duduk di kerusi Perdana Menteri.
Yang harus difikirkan sama, tanpa Bersatu dan tanpa Tun Mahathir, politik Malaysia akan lebih aman dan tidak keterlaluan lagi celarunya selepas ini.

 (Shahbudinditcom 03/07/2020)



No comments: