Kerajaan digesa komited prinsip kebebasan media


Oleh B. Suffian
Kerajaan perlu komited kepada prinsip kebebasan media yang didukung oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), desak Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
Beliau menegaskan, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia meningkat daripada 145 antara 180 negara kepada 101 di bawah pentadbiran PH.
Buat pertama kalinya, menurut beliau, Malaysia menjadi juara kebebasan media di Asia Tenggara.
“Jika Perikatan Nasional (PN) terus bertindak mengongkong media dan menghalang kerja-kerja wartawan sepertimana yang dilakukan sekarang, saya khuatir kedudukan Malaysia akan merundum dalam indeks kebebasan media kepada seperti di zaman Barisan Nasional (BN) dahulu,” katanya ketika Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Shu Qi berkata, bagi pengamal media dan penggiat demokrasi, kerajaan dilihat seakan-akan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas media.
Dalam tiga bulan sahaja kerajaan baharu ditubuhkan, tambahnya, seorang wartawan disoal siasat polis semata-mata kerana melakukan kerjanya dan sebuah agensi berita yang lain telah diambil tindakan undang-undang.
Shu Qi menambah, kerajaan perlu menghentikan penggunaan Akta Finas 1981 khususnya seksyen 22(1) terhadap bahan-bahan selain yang diperuntukkan secara sempit dalam undang-undang tersebut bagi industri perfileman.
“Kabinet perlu segera mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh, untuk merangka rang undang-undang baru bagi meminda Akta Finas 1981 dengan mengambil kira konteks dan keperluan masa kini,” katanya. 


No comments: