Golongan muda perlu peduli politik



(Ketua DAPSY Batu Pahat)
Dalam kegembiraan rakyat Malaysia menerima keputusan mahkamah berikutan kes Najib Razak, terdapat satu perkara yang perlu untuk kita rasa bimbang, selain penjarakan sosial atau pelanggaran prosuder operasi standard (SOP). Ia berkaitan seorang wanita yang menganggap SRC International adalah sebuah pertubuhan kebajikan.
Kita ketepikan dulu soal Najib akan dihukum atau tidak, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi telah menyatakan bekas perdana menteri itu bersalah. Tapi seluruh Malaysia pasti tahu dan bersetuju bahawa SRC International bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan, seperti yang dinyatakan wanita tersebut.
Bagaimana anggapan dia boleh terpesong begitu jauh dari realiti? Kita biasa melihat penipuan, menutup sifat epal hijau, dan dikata epal merah. Tapi apa yang dilihat kelmarin, mak cik tersebut jelas telah ditipu, hinggakan sebiji batu boleh dianggap sebiji epal. Mustahil seusianya, tidak kenal antara epal dan batu. Tapi itulah yang terjadi!
Musibah apalah yang Malaysia sedang hadapi? Pihak manakah yang tergamak menipu mak cik ni? Banyak lagi cara untuk meraih sokongan politik, tapi mengapa tiada hati perut, hingga sanggup menipu sebegitu rupa? Sedikit belas ihsan pun langsung tak ditinggalkan. Macam dah merompak 42 juta, jumpa satu sen pun tak dilepaskan.
Apa yang berlaku, sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa Malaysia sedang berhadapan cabaran besar untuk membetulkan situasi seperti ini. Kita kena sedar dan akui, memang wujud pihak yang sedang cuba memanipulasi dan memperbodohkan segelintir warga emas. Kita bangga mengatakan “belia celik politik”, tapi pada masa yang sama, terdapat warga emas sedang diperkotak-katikkan, akibat terdapat kelompongan penyampaian maklumat, yang sepatutnya digalas anak muda.
Mungkin ada segelintir anak muda berasa mual dengan suasana politik di Malaysia, lantas bersikap tak peduli tentang politik, atau ingin berkecuali. Bila tiba pilihan raya, cari saja pelbagai maklumat di hujung jari, dan undi. Tapi, bagaimana pula nasib warga emas? Ada antara mereka, jauh dari medan maklumat, apatah lagi untuk mendapatkannya dari sumber yang betul dan tepat.
Kelmarin, kita melihat telatah seorang mak cik yang kena tipu. Esok lusa, siapa pula yang kena tipu? Barangkali, giliran mak, ayah, atuk atau nenek kita yang menjadi mangsa. Takkanlah kita masih nak berdiam diri, rela melihat keluarga sendiri dimanipulasi dan ditipu sedemikian rupa?
Anak muda perlu peduli tentang politik untuk mengisi kelompongan yang sedang dimanipulasi oleh pihak yang tidak berhati perut. Jangan sampai keluarga kita pula menjadi mangsa mereka.



No comments: