Thursday, July 9, 2020

APA JADI KALAU USUL PM KALAH 13 JULAI NANTI.


Cakap-cakap bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin akan membentangkan usul untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker YB Nga Kor Ming bukan cakap-cakap kosong.
2. Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya menerima melalui Poslaju pada hari ini 8hb Julai 2020 (5 hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula) sebuah dokumen Parlimen Malaysia setebal 350 muka surat berkenaan Aturan Urusan Mesyuarat bermula dari 13 Julai 2020 hingga 27 Ogos 2020. Dokumen ini bukan dokumen rahsia dan tiada peraturan “embargo” dikenakan, maka saya ingin berkongsi maklumat dengan para pembaca di luar sana supaya anda semua tahu apa yang akan berlaku di dalam Dewan Mesyuarat Parlimen.
3. Usul untuk menggantikan Tan Sri Mohamad Arif merupakan Usul No.2 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada 13 Julai 2020. Usul itu berbunyi: “ Perdana Menteri akan mencadangkan:- “Bahawa Dewan rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang di-Pertua.”
4. Usul No. 2 tersebut diikuti dengan Usul No.3 dari Perdana Menteri yang mohon mencadangkan Datuk Azhar bin Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
5. Usul No.4 pula bertujuan untuk mengenepikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Nga Kor Ming. Manakala usul No.5 untuk mencadangkan Dato’ Sri Azalina binti Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang sebagai Timbalan Speaker. Kedua-dua usul ini, No.4 dan No.5 juga dibentangkan oleh Perdana Menteri.
6. Bagaimana jika usul No.2 itu ditolak oleh Dewan Rakyat atau keempat-empat usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri itu mengalamai kekalahan? Jika Perdana Menteri kalah bermaka Kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya juga kalah. Adakah Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan jika kesemua usul yang beliau bentangkan itu atau salah satu daripadanya ditolak oleh Dewan Rakyat?
7. Tidak ada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan atau amalan bersifat konvensi yang menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan. Muhyiddin Yassin akan berasa kecundang dan Kerajaan PN akan menerima tamparan dari blok pembangkang jika usul-usul mengenepikan Speaker dan Timbalan Speaker berkesudahan dengan kekalahan. Tetapi dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berani membentangkan usul-usul tersebut memberi isyarat awal bahawa kerajaan PN pimpinannya padu dan kukuh dan beliau sebagai Perdana Menteri mempunyai cukup bilangan ahli parlimen yang menyokong kerajaan pimpinannya.
8. Ujian yang dihadapi oleh Muhyiddin Yassin pada 13 Julai ini besar. Pakatan Harapan Plus walaupun nampak ada masalah dalaman sesamanya tetapi dalam soal menghadapi Usul mengenepikan Speaker Mohamad Ariff dan Timbalan Speaker YB Nga Kor Ming yang dibawa oleh Perdana Menteri, mereka bersatu dan akan memberi tentangan yang hebat di Parlimen nanti pada 13 Julai ini.
9. Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu merajuk dan patah hati jika usul-usulnya itu nanti menghadapi kekalahan. Beliau boleh merujuk sejarah. Pada tahun lepas 2019 usul dari Kerajaan Pakataan Harapan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan juga menghadapi kekalahan apabila gagal mendapat kelulusan dua pertiga Dewan Rakyat kerana mendapat tentangan dari blok pembangkang ketika itu. Tun Dr Mahathir tidak meletak jawatan kerana kekalahan itu dan tidak juga pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen.
10. Muhyiddin Yassin pun perlu berbuat hal yang sama iaitu terus mentadbir negara jika usul-usulnya itu tewas di Parlimen. Malu sedikit tidak apalah kerana reputasinya sebagai Perdana Menteri Kerajaan PN tercalar. Tetapi Muhyiddin Yassin tidak perlu sampai terpaksa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 yang mengejut kerana terkejut.Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen. Perdana Menteri tentu tahu hal ini dan beliau tentu akan berhati-hati.
11. Secara peribadi saya selaku Ahli Parlimen dari PH dan Parti Keadilan Rakyat pernah menyuarakan tuntutan terbuka supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakan jawataan sekira usulnya mengenepikan Speaker Mohamad Ariff menemui kegagalan. Tetapi siapalah saya untuk mendesak tuntutan sedemikian terhadap Perdana Menteri memandangkan usul-usul mengenepikan Speaker dan Timbalan Speaker Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming bukanlah usul yang bersifat kewangan seperti Belanjawan Tahunan Negara yang menuntut Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya meletakkan jawatan sekiranya usul berkenaan Belanjawan Negara itu kalah di Parlimen.
12. Tetapi bagaimana jika Usul-usul Perdana Menteri itu beroleh kemenangan dan Speaker serta Timbalan Speaker yang ada sekarang berjaya diketepikan melalui proses pengundian yang telus dan adil di Parlimen? Ini tentu satu suntikan semangat yang kuat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN pimpinannya. Dan ia merupakan satu tamparan hebat kepada blok pembangkang PH Plus.
13. Tetapi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak berada dalam keadaan selesa pada 13 Julai nanti. Kerana di dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada tarikh tersebut terdapat satu usul No.27 yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Langkawi yang akan mencadangkan :-
“ Bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Yang Berhormat bagi kawasan Langkawi untuk mencadangkan suatu usul iaitu menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3), dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli yang Berhormat Dewan Rakyat.”
Persoalan berkenaan prosedur ialah adakah pada 13 Julai nanti usul No.27 yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir sempat dibentangkan dan dibahas serta diputuskan dengan undi atau terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain?
Sama-samalah kita ikuti perkembangaan menarik di Parlimen nanti.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Rabu 8 Julai 2020


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers