Monday, June 1, 2020

MUHYIDDIN HILANG LAGI SATU KERUSI


Dalam hantaran melalui media sosialnya malam tadi, Setiausaha Agung Bersatu pro Tun Mahathir Mohamad menulis kata-kata berikut:-
“Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Datuk’ Dr. Shahruddin Md Salleh kerana memilih untuk terus kekal dengan prinsip perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) demi menyelamatkan parti BERSATU yang berpaksi kepada ketelusan serta menolak amalan kleptokrasi dalam kepimpinan.”
Ungkapan penuh makna itu ditujukannnya kepada Timbalan Menteri Kerjaraya, Dr. Shahruddin yang pada petang Jumaat lalu telah mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor.
Berbeza dengan Menteri Tugas-Tugas Khas, Mohd Redzuan Md Yusof yang turut mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir pada pagi Jumaat di Yayasan Kepimpinan Perdana, tetapi kemudian menafikan perjumpaan itu untuk menzahirkan sokongannya kepada bekas Perdana Menteri itu yang sekarang sedang berusaha menumbangkan Muhyiddin Yassin, Dr. Shahruddin sebaliknya masih lagi berdiam diri mengenai pendiriannya sehingga kini.
Apakah dengan kata-kata yang ditulis Marzuki itu menunjukkan Dr. Shahruddin sekarang sudah bersama Tun Mahathir dan telah menanggalkan sokongannya terhadap Muhyiddin?
Sementara itu, dalam temubualnya dengan sebuah akhbar, Dr. Shahruddin menjelaskan, kehadirannya ke pejabat Bersatu pada Jumaat lalu dan berjumpa Tun Mahathir adalah kerana sayangkan parti itu.
“Saya jumpa pengasas parti, pejuang, bapa dan seorang negarawan.
“Kami sama-sama susah, berkempen ketika lawan BN dahulu,” tambah beliau juga merupakan Ahli Parlimen Seri Gading, Johor.
Yang paling menarik tentunya ialah pengiktirafan yang masih kekal daripada Dr. Shahruddin terhadap kedudukan Tun Mahathir sebagai pengasas Bersatu.
Walaupun kedudukan Tun Mahathir sebagai pengasas Bersatu adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan, tetapi itulah yang kini cuba dipadamkan oleh kumpulan pro Muhyiddin, seperti dapatan dalam wikipedia misalnya.
Dengan apa yang terpapar melalui penzahiran Dr. Shahruddin ini, apakah kini sokongan Ahli-Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin berkurangan satu undi lagi daripada 113 kepada 112?
Dalam erti kata lain, majoriti Muhyiddin hanya tinggal satu undi saja lagi.
Adakah mana-mana kerajaan dalam dunia ini yang hanya ada satu undi majoriti?
Berapa lama lagi Muhyiddin mampu bertahan dengan satu undi tersebut? 
(Shahbudindotcom 01/06/2020)


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers