Wednesday, June 3, 2020

Bubar Parlimen bukan pilihan untuk Muhyiddin dan Azmin

Bubar Parlimen bukan pilihan untuk Muhyiddin dan Azmin
"Untuk tahun ini saya yakin, pilihan raya tidak akan diadakan samada ianya dari perspektif Perdana Menteri ataupun Yang Dipertuan Agong," kata penganalisis politik dari Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diyakini tidak akan mencadangkan pembubaran Parlimen walaupun beliau kehilangan suara majoriti di Dewan Rakyat kerana membubarkan Parlimen bermakna membunuh kerier politik beliau.
Yang Dipertuan Agong yang mempunyai kuasa budibicara untuk menentukan Parlimen dibubarkan ataupun tidak selepas mendapat nasihat dari Perdana Menteri, juga diyakini tidak akan pro kepada pilihan raya diadakan pada tahun ini berdasarkan kedudukan negara dan dunia sekarang.
Begitu juga kumpulan 10, bekas pemimpin PKR pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Untuk tahun ini saya yakin, pilihan raya tidak akan diadakan samada ianya dari perspektif Perdana Menteri ataupun Yang Dipertuan Agong,” kata penganalisis politik dari Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia
(UTM), Dr Mazlan Ali.
Menurut Mazlan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri memang mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang Dipertuan Agong agar Parlimen dibubarkan.
Tetapi membubarkan Parlimen bermakna membunuh kerier politik beliau dan juga partinya Bersatu.
“Beliau hanya bernilai ketika Umno dan Pas memerlukan beliau pada penggal ini. Jika Parlimen terbubar sebagaimana yang dikehendaki oleh Pas dan Umno, bermakna Muyiddin tidak berguna lagi kepada mereka,”
kata beliau.
Ini kerana, Muhyiddin dan Bersatu terpaksa berkongsi kerusi pilihan raya yang sama dengan Umno dan Pas iaitu kerusi Melayu luar bandar.
“Umno dan Pas belum selesai dalam pembahagian kerusi antara mereka. Takkan kedua-duanya mahu memasukkan satu lagi rakan untuk berkongsi kerusi yang sama iaitu kerusi Melayu luar bandar,” kata Mazlan yang banyak membuat kajian politik di negara ini.
Kajian Mazlan pada awal tahun ini (Januari 2020) mendapati sokongan kepada Umno dan Pas di kalangan pengundi Melayu sangat tinggi iaitu mencecah lebih 85 peratus.
Namun selepas Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, sokongan orang Melayu kepada PH kembali meningkat manakala di kalangan bukan Melayu, sokongan kepada PH kembali tinggi.
Menurut Perlembagaan, Yang Dipertua Agong mempunyai kuasa budibicara untuk menerima nasihat PM bagi membubarkan Parlimen.
“Saya yakin, Yang Dipertuan Agong akan menggunakan sepenuhnya bidibicara Baginda untuk menentukan Parlimen perlu dibubar atau hanya melantik pengganti kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika
beliau hilang undi majoriti di Parlimen,” kata Mazlan.
Faktor keadaan negara yang berada di era PKP dengan keadaan ekonomi yang sangat tidak baik, kos pilihan raya dalam suasana normal baharu  (new normal) akan mempengaruhi keputusan budibicara Yang Dipertuan
Agong, kata Mazlan.
Menurut beliau, kos pilihan raya ke 14 yang lalu adalah sekitar RM500 juta.
“Jika pilihan raya nak diadakan tahun ini, dalam suasana normal baharu ini, kosnya boleh meningkat sehingga sekali ganda iaitu boleh mencecah RM1 bilion,” kata Mazlan.
Antaranya beliau menjangkakan, pilihan raya mungkin perlu diadakan sehingga dua hari kerana satu hari tidak akan mencukupi dalam suasana normal baharu ini.
“Dengan keperluan kepada penjarakkan sosial, pilihan raya tidak boleh selesai sehari sahaja. Boleh jadi dua hari baru boleh selesai. Jadi kosnya sangat tinggi dan berlipat kali ganda.
“Berdasarkan faktor-faktor di atas, saya yakin pilihan raya tidak akan berlaku tahun ini,” kata Mazlan.
KEHILANGAN MAJORITI
Cakap-cakap mengenai Muhyiddin kehilangan majoriti semakin kencang selepas sidang Dewan Rakyat hanya diadakan sehari sahaja pada 18 Mei lalu dan hanya mempunyai satu agenda sahaja iaitu Titah Diraja.
Ia semakin panas apabila timbul khabar angin sidang media yang hendak dibuat oleh dua Ahli Parlimen Bersatu iaitu seorang menteri dan seorang timbalan menteri yang dikatakan mahu menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika menjelaskan sidang media yang tidak menjadi ini, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam satu kenyataannya meminta semua penyokong dan ahli Bersatu berfikir dengan jujur tentang masa depan parti dan diri beliau sendiri.
“Cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya. Saya sekarang adalah Ahli Parlimen Sri Gading.
“Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah untuk calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading dalam PRU-15 nanti?
“PN atau PH?
“Itu juga adalah jawapan kepada satu solan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH? Saudara jawab!!” tulis Timbalan Menteri Kerjaraya itu.
Bagi Dr Mazlan, pendirian Dr Shahruddin adalah sama dengan pemikiran bekas Menteri Pelajaraan, Dr Mazlee Malik yang sangat prihatin kepada masa depan partinya.
“Saya yakin inilah pendirian akar umbi Bersatu. Mereka lebih senang bersama PH dari PN. Jika bersama PN, mereka mudah dimakan oleh Umno,” kata Mazlan.
Katanya, kalau begitu sikap Dr Shahruddin yang merupakan bekas Setiausaha Agong Bersatu dan bekas Setiausaha Politik Muhyiddin itu, semua orang boleh bayangkan apakah sikap pemimpin Bersatu yang lain.
Bagi Mazlan, Bersatu akan mempunyai kedudukan yang sukar jika mereka terpaksa berunding dengan Umno dan Pas dalam menentukan kerusi dalam pilihan raya kerana mereka bertanding di kerusi yang sama.
“Paling baik, Bersatu akan mendapat 20 kerusi. Itupun kalau Umno setuju. Kalau kerusi Pas lagi payah kerana semua kenal Pas sangat keras dalam hal ini,” katanya.
Bagi beliau, Umno tidak akan yakin setakat mana kesetiaan Bersatu kepadanya selepas pilihan raya nanti “jadi kenapa mereka perlu memberikan kerusi tradisi mereka kepada Bersatu.”
“Antara pilihan yang ada kepada Muhyiddin adalah beliau menyertai Umno semula,” kata Mazlan jika Umno menerima syarat-syarat yang ditentukan oleh Muhyiddin.
KEDUDUKAN AZMIN
Kedudukan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan-rakannya yang meninggalkan PKR juga sama dengan Bersatu.
“Kat mana Azmin akan bertanding jika Parlimen dibubarkan tahun ini. Saya yakin bukan Gombak kerana mereka tidak ada sokongan akar umbi.
“Oleh itu bagi saya, bubar Parlimen bukan juga pilihan untuk Azmin dan rakan-rakannya buat masa sekarang,” kata Mazlan.

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers