Saturday, May 23, 2020

LANTIKLAH NAJIB JADI KETUA CYBERWAR BERTARAF MENTERI ,ATAU BELIAU NAK JADI PM SEKALI LAGI?



Harus diakui ketika ini Najib Razak cukup terkehadapan dari segi menggunakan media sosialnya berbanding lain-lain pemimpin dalam gabungan tidak berdaftar PN untuk membela dan mempertahankan kerajaan.
Beliau jauh mendahului Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Zahid Hamidi, Presiden Pas, Hadi Awang, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah dan semua pemimpin yang ada dalam PN.
Tidak cukup dengan itu, keberkesanan Najib menggunakan media sosial mempertahankan kerajaan juga lebih ke hadapan berbanding empat menteri kanan yang dilantik Muhyiddin, tidak kira sama ada menteri kanan paling kanan, menteri kanan terkiri atau menteri kanan yang tak bergerak ke kini dan ke kanan.
Semua mereka sekarang ini dikalahkan oleh Najib dari keberkesanan dan keaktifan memanfaatkan media sosial.
Malah, keaktifan dan keberkesanan Najib dalam mempertahan kerajaan juga jauh lebih baik dan berfungsi berbanding ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri dahulu.
Agaknya, pasukan yang membantunya sekarang benar-benar berfungsi dengan baik, berdisiplin dan rajin bekerja serta bukan lagi “team menghabiskan beras” yang pernah disebutnya sebelum ini.
Sekarang ini, melalui media sosialnya, semua isu ditapaunya dengan pantas dan berkesan.
Baik mempertahankan kerajaan, menyerang Tun Mahathir, membelasah pemimpin-pemimpin pembangkang, menyindir kerajaan lama PH, mempertahankan dan mempromosi dirinya sendiri, bahkan boleh dikata apa saja isu yang berbangkit yang menjadi perhatian ramai, daripada yang sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya, semua diulasnya dengan baik.
Pendeknya, Najib kini adalah panglima siber paling mantap dan terkehadapan sekali di negara ini, terutama dari segi membela dan mempertahankan kerajaan.
Tetapi, peranan berkesan yang dimainkan Najib itu tidak pula pernah mendapat apa-apa pengiktirafan atau ucapan terima kasih daripada Perdana Menteri, Muhyiddin.
Dalam hal ini, tidak bolehkah Najib dilantik mengetuai mana-mana GLC atau dijadikan panglima siber bertaraf menteri sebagai mengiktiraf sumbangan dan peranannya membela kerajaan?
Begitu pun, ada yang berkata, Najib tidak boleh diberikan apa-apa jawatan kerana kes mahkamahnya sedang berjalan ketika ini.
Sebenarnya, sesuai dengan konsep seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, tidak ada apa salahnya memberikan Najib apa-apa jawatan yang difikirkan sesuai dengan kedudukan dan peranan yang boleh digalasnya.
Oleh itu, kalau pun Muhyiddin tidak mahu melantiknya mengetuai mana-mana GLC, menjadikannya ketua siber kerajaan bertaraf menteri tentu tidak menjadi kesalahan?
Walaupun wang tidak pernah menjadi masalah dalam kehidupan Najib, setidak-tidaknya memberi pengiktirafan atau penghargaan yang tidak pernah diwujudkan sebelum ini – ketua siber kerajaan bertaraf menteri- tentu penting dalam hidup bekas Perdana Menteri itu.
Tambahan lagi, dengan pelbagai isu yang berlegar membelit kerajaan dan menghenyak Muhyiddin sekarang ini, beliau selaku Perdana Menteri seperti tidak dipertahankan oleh sesiapa daripada PN, baik oleh Bersatu, UMNO, Pas serta lain-lainnya dan seolah-olah juga PMO sendiri tiada unit medianya sendiri untuk mempertahankan boss mereka yang sedang dihentam kiri dan kanan.
Sementara pejuang siber pro UMNO turut banyak menghentam Muhyiddin, satu-satunya yang nampak telah berperanan serta boleh dipertingkatkan lagi peranannya membela kerajaan hanyalah Najib seorang.
Untuk itu, memberi pengiktifaran dan penghargaan kepada Najib bukan saja bersesuaian, malah tidak merupakan suatu kesalahan.
Selain itu, tidak kurang yang berkata, Najib tidak perlu semua jawatan, kedudukan dalam kerajaan atau apa-apa pengiktirafan kerana apa yang dilakukannya sekarang, selain untuk membersihkan namanya dan menjadikan dirinya sibuk, beliau juga diperkatakan sedang berjuang untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Dikatakan dengan popularitinya yang lebih meningkat sekarang ini, jika UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional berjaya memenangi PRU akan datang, berdasarkan senarai pemimpin UMNO yang ada, hanya Najib saja yang paling layak menjadi Perdana Menteri.
Jika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali melalui parti yang berbeza, bolehkah Najib juga menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua, tetapi melalui parti yang sama? 

(Shahbudindotcom 23/05/2020)



No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers