HUKUM ALAM..PECAT ORANG ITU, PECAT ORANG INI, AKHIRNYA DIRI SENDIRI KENA PECAT


Kami tidak terima pemecatan ini, kata Tun M dan 4 lagi pemimpin Bersatu

Kami tidak terima pemecatan ini, kata Tun M dan 4 lagi pemimpin Bersatu





Pengasas Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi pemimpin parti itu enggan menerima pemecatan mereka kerana bercanggah dengan undang-undang serta menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan.
Dalam satu kenyataan bersama malam tadi, mereka menyifatkan pejabat Presiden jelas bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada masa ini.
“Ini juga menampakkan sikap diktator Presiden. Kami juga menyatakan di sini bahawa tindakan sebelah pihak (unilateral) oleh Presiden Bersatu kini dalam memecat kami tanpa sebab adalah kerana kegusaran beliau dalam menghadapi pemilihan parti serta posisi beliau yang tidak selamat selaku Perdana Menteri yang paling tidak stabil dalam sejarah pentadbiran negara kita,” kata mereka.
Kelima-lima pemimpin itu juga berpendapat surat ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya itu pada zahirnya menampakkan kecelaruan urusetia parti tersebut.
“Ianya ditandatangani oleh individu yang tidak diberikuasa di bawah perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan Bersatu ditadbir secara profesional.
“Tindakan seorang Setiausaha Kerja yang mengutus surat sebegini kepada yang diantaranya adalah para pengasas parti Bersatu sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab,” tegas mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).
Pemimpin-pemimpin Bersatu itu juga mempersoal tindakan pemecatan mereka mengikut peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti yang masing-masing menyatakan tentang pengisytiharan keluar dari parti dan penyertaan atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini.
“Dilihat pada takrifan di atas, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” kata mereka.
Sehubungan itu, kesemua Ahli Parlimen Bersatu berkenaan akan memastikan parti tersebut kembali ke landasan betul dan tidak lagi dijadikan wahana pacuan sesetengah pihak yang hanya tamakkan kuasa dan kedudukan.
“Pada Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang lain, kami menyeru dan memanggil anda, lihat apa yang kini berlaku pada parti kita sendiri, hilang kuasa di negeri-negeri dan menjadi bahan mainan parti yang dulu kita tentang bersama,” seru mereka.
Kelima-lima pemimpin itu juga berkata keengganan mereka menerima pemecatan tersebut bukan sahaja untuk diri mereka tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu.

No comments: