Garis panduan asingkan anak ‘frontliners’ satu diskriminasi, perlu ditarik balik


Kenyataan media Setiausaha Politik Ahli Parlimen SegambutNor Miswary Ramli, pada Isnin, 25 Mei 2020.
Saya merujuk kepada dokumen Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di dalam Lampiran 12 sub-seksyen 2.1.2 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dokumen garis panduan yang telah dikemaskini pada 22 Mei 2020 itu menyebut; “Anak-anak frontliners adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan daripada ibu bapa mereka. Tempat yang paling selamat untuk anak-anak ini adalah penjagaan di rumah. Walau bagaimanapun, sekiranya anak-anak petugas frontliners dihantar ke taska, mereka perlu diasingkan daripada anak-anak yang lain”.

Mencadangkan anak-anak frontliner lebih selamat dengan penjagaan di rumah seolah-olah kerajaan tidak memahami isu sebenar (real issue) yang dihadapi oleh frontliner. Frontliner terdiri daripada mereka yang mungkin merupakan pasangan jururawat dan pegawai polis yang perlu bertugas dalam tempoh PKPB dan hanya bergantung sepenuhnya kepada taska untuk menjaga anak-anak mereka.

Memperbaharui sebuah garis panduan yang mencadangkan anak-anak frontliner diasingkan daripada kanak-kanak lain di taska adalah arahan yang tidak munasabah, keterlaluan dan berbentuk diskriminasi yang perlu segera ditarik balik. Mengasingkan anak-anak ini dengan kanak-kanak yang lain adalah seperti kita mengasingkan frontliner dengan ibu-bapa bukan frontliner yang lain.

Kita juga difahamkan bahawa kerajaan menerusi KPWKM telah mengeluarkan garis panduan bagi mengawal dan memastikan keselamatan anak-anak di taska yang berkuatkuasa mulai 4 Mei 2020 yang lalu. Tanggungjawab kerajaan ialah memastikan perlaksanaan garis panduan tersebut dipatuhi dan bukannya mengubahsuai dengan memasukkan arahan berbentuk diskriminasi ke atas anak-anak frontliner ini.

Garis panduan demi garis panduan yang dikeluarkan tanpa pemantauan dan pematuhan adalah petanda sikap acuh tidak acuh Kerajaan terhadap kebajikan dan keselamatan anak-anak di taska terutamanya anak-anak frontliner yang kita semua julang sebagai wira negara. Menjaga kebajikan anak-anak wira negara juga petanda yang kita benar-benar menghargai pengorbanan mereka. 


No comments: