BYE...BYE...MUHYIDDIN

Ada dua perkara penting yang menyebabkan peralihan kerajaan kepada PH tidak dapat dielakkan daripada berlaku tidak lama lagi.
Pertama, PH ketika ini sudah mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya dan kedua, siapa calon Perdana Menteri juga sudah dipersetujui.
Tetapi, perubahan kerajaan ini bukanlah mencuri mandat rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh PN sebelum ini, sebaliknya bertujuan mengembalikan semula mandat rakyat kepada PH sebagai pihak yang berhak dan dipilih rakyat dalam PRU14 lalu.
Dari segi bilangan Ahli Parlimen atau nombor yang ada, berapa jumlahnya sama ada 113, 115, 120 atau 129 bukanlah perkara mustahak kerana yang penting ia lebih daripada jumlah minimum 112.
Proses mengambil alih kerajaan ini dipercayai akan dilakukan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen pada Julai akan datang.
Ia tidak dilakukan dengan cara mengumpul Akuan Bersumpah atau SD yang kemudian dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sebagai bukti sudah ada cukup majoriti.
Difahamkan ini berikutan Ahli-Ahli Parlimen PN yang mahu menyokong PH atau dikenali sebagai “penyokong tersembunyi” masih tidak sedia secara terbuka menunjukkan sokongan mereka.
Sebaliknya, mereka hanya sedia menunjukkan sokongan kepada PH melalui undi sulit di dalam Parlimen.
Maka itu, demi keharmonian dan menjaga kepentingan semua pihak, walaupun nombor sudah mencukupi dan mungkin jumlahnya terus meningkat lagi, ia tidak akan dilakukan melalui pengumpulan SD, tetapi melalui sokongan terhadap usul undi tidak percaya di Parlimen yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad.
Berkenaan calon Perdana Menteri pula, sebagaimana yang telah disahkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, ia telah pun dipersetujui semua pihak dalam PH.
“Kami hanya ada satu calon dan ia telah dipersetujui semua pihak.
“Dahulu (sebelum PRU14) kita tak pasti menang, maka perbincangan tidak dilakukan secara terperinci.
“Kini kita yakin akan kembali berkuasa, jadi kita lebih bersedia dengan perbincangan yang lebih terperinci,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.
Seterusnya Khalid menambah, “PH sekarang lebih mantap kerana golongan pengkhianat sudah keluar. Mereka yang memberi tafsiran berbeza mengenai kepimpinan dan peralihan kuasa sudah tiada lagi.
Malah tegasnya, persetujuan yang dicapai sekarang ini lebih tepat dan mempunyai sokongan daripada semua pihak.
Hakikatnya, baik mengenai cukup nombor atau calon Perdana Menteri yang telah dipersetujui, ia adalah suatu fakta yang benar, sahih dan tidak boleh dinafikan lagi.
Kemelut politik yang berterusan dan ketidakupayaan Muhyiddin Yassin dalam mengurus banyak masalah dalam negara menjadikan PH kembali mendapat sokongan.
Sebab itu, dalam sambutan Hari Raya baru-baru ini, wajah Tun Mahathir Mohamad nampak begitu ceria, tenang dan gembira saja.
Puncanya tidak lain, nombor sudah cukup ada dalam tangan.
Begitu juga dengan Anwar Ibrahim, keceriaan dan kegembiraannya bersama keluarga dan anak cucu menyambut Hari Raya jelas dapat dilihat dengan nyata.
Sebabnya juga sama, nombor mencukupi sudah terjamin dalam genggaman.
Malah, jika dilihat berdasarkan rakaman video panggilan Hari Raya oleh Lim Guan Eng kepada Tun Mahathir, Anwar dan Mohamad Sabu, turut sama dapat dilihat betapa gembira dan cerianya semua mereka.
Dahulu ketika dalam kerajaan pun mereka tidak seceria dan segembira begitu.
Kenapa semua mereka ceria dan gembira?
Jawapannya juga tidak lain – nombor untuk menjadi kerajaan semula sudah cukup dalam tangan.
Lalu, apa lagi?
Bye bye Muhyiddin…..

(Shahbudindotcom 28/05/2020)



No comments: