ADAKAH AGIHAN JAWATAN MENTERI DAN GLC BAGI WUJUDKAN KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL BOLEH DIANGGAP RASUAH?



Saya ingin merujuk kepada rakaman audio yang tular di laman sosial semalam dan juga telah dilaporkan oleh media-media mengenai suara yang dikatakan mirip suara YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Lelaki tersebut telah memberikan gambaran bahawa kerajaan baharu boleh dibentuk dengan mendapatkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang mana sokongan itu boleh ditarik melalui pemberian jawatan Menteri atau GLC yang mempunyai implikasi kuasa dan kewangan.

Antara dialog suara lelaki tersebut adalah:-

”Kalau dia tahu kerajaan baru nak terbentuk, UMNO masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?’”

”Kalau kita ambil seorang-seorang, mungkin ada di antara mereka terutamanya kalau mereka ada tawaran-tawaran tertentu, why not?”

”Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan UMNO, 10 hingga 20 tinggal Najib dan puak-puak dia.”

”Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. Tak jadi Menteri, jadi chairman of GLC”

Sekiranya suara tersebut adalah benar-benar suara YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin, ini menimbulkan satu persoalan besar samada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk dengan secara merasuah Ahli-Ahli Parlimen dengan jawatan.

Berdasarkan takrifan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah adalah ’penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.’

Ahli-Ahli Parlimen bertanggungjawab untuk membentuk sokongan majoriti bagi menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan.

Adakah beliau memberi suapan jawatan-jawatan untuk menjadi Perdana Menteri?

Malah, jika dirujuk dibawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694), “suapan” juga ertinya -

(b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat

Rakaman audio tersebut turut menunjukkan bahawa rancangan ‘membeli’ sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen parti UMNO dan mungkin juga parti-parti lain telah disusun lebih awal sebelum pembentukan kerajaan PN.

Selepas PN mengambil kuasa, Ahli-Ahli Parlimen PN telah menerima agihan jawatan dengan lantikan 70 orang sebagai Menteri dan Timbalan Menteri serta 23 orang lagi sebagai Pengerusi GLC atau Badan Berkanun.

Tanpa sokongan 93 orang Ahli Parlimen yang bersandarkan kepada ganjaran jawatan, adalah mustahil untuk PN membentuk kerajaan.

Memandangkan isu ini melibatkan kedudukan kerajaan dan atas dasar kepentingan orang ramai, sewajarnya SPRM menjalankan siasatan dengan segera bagi mengesahkan ketulenan audio tersebut.

Sekiranya audio tersebut sah, maka mereka yang menawarkan dan menerima jawatan berkenaan wajar disiasat mengikut Akta SPRM 2009. 

Sekian, terima kasih.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia


No comments: