Saya bukan hipokrit dalam isu Rohingya, kata Najib


Ribuan orang Rohingya di Malaysia akan teruk terjejas dengan PKP kerana kedutaan Myanmar tidak mahu memberikan bantuan makanan.
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau konsisten
 dalam pandangannya mengenai nasib etnik Rohingya, sekali gus menolak
 dakwaan bersikap hipokrit apabila beliau mendesak pihak berkuasa supaya
 tidak menerima pelarian Islam dari Myanmar itu memasuki Malaysia.
Beliau juga mendakwa portal FMT “memutar belit” pendiriannya mengena isu itu bagi “membina persepsi bahawa saya hipokrit berhubung isu Rohingya”.
Najib berkata, perhimpunan solidariti yang diketuainya sebagai sokongan kepada kumpulan itu 4 tahun lepas tidak bertujuan menggalakkan pelarian datang ke Malaysia.
“Saya bukan hipokrit. Kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa saya sudah banyak membantu Rohingya,” katanya.
“Kita bersama PAS juga membuat perhimpunan untuk mendesak kerajaan Myanmar supaya menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya. Kami ketengahkan isu yang sedang berlaku kepada etnik Rohingya (pada) masa itu.
“Kita tak buat perhimpunan untuk suruh semua pelarian Rohingya datang ke Malaysia,” katanya di Facebook.
Kenyataannya menyusul komen xenofobia yang semakin bertambah di media sosial menyasarkan etnik itu, selepas rayuan aktivis untuk memberi bekalan makanan kepada puluhan ribu Rohingya yang tinggal di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dan Pusat Bandar Utara yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.
Pihak berkuasa dilaporkan berkata, ia menjangka kedutaan asing akan membantu rakyat mereka di kawasan PKPD.
Najib berkata, pentadbirannya telah menjelaskan bahawa bantuan Malaysia kepada Rohingya dibuat berdasarkan nilai kemanusiaan dan bukan isyarat bahawa sempadan negara dibuka kepada semua.
Beliau juga mengkritik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana gagal bertindak berhubung isu Rohingya.
“Sampai bila Malaysia perlu pikul tanggungjawab ini secara bersendiri?
“NGO patut mendesak PBB dan UNHCR supaya bertindak juga. Jangan sering menekan Malaysia sahaja,” katanya.
Beliau juga berkata, komuniti Rohingya juga perlu “sensitif” kepada sentimen dan kebimbangan rakyat Malaysia pada masa krisis Covid-19 sekarang.
Menurut Najib, langkah kerajaan menolak kemasukan bot membawa pelarian Rohinya minggu lepas adalah tepat, dengan berkata, langkah membenarkan mereka mendarat di negara ini akan membuka jalan kepada lebih banyak bot pelarian, sekali gus mendedahkan lebih banyak nyawa mereka kepada bahaya.
“Adakah anda akan bertanggungjawab jika lebih ramai etnik Rohingya kehilangan nyawa semasa melarikan diri ke Malaysia,” katanya.

No comments: