Pendekatan Mujahid selamatkan nelayan, petani sambil bantu yang memerlukan

Pendekatan Mujahid selamatkan nelayan, petani sambil bantu yang memerlukan
Mujahid memeriksa ikan yang dibeli dari nelayan Parit Buntar sebelum diagihkan kepada pihak yang memerlukan.




Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nelayan dan petani adalah antara pihak yang sengsara apabila pemborong tidak dapat membeli hasil tangkapan dan tuaian mereka.
Hasilnya sebahagian dari mereka terpaksa membuang hasil tangkapan manakala sayur-sayuran yang ditanam terpaksa dibuang begitu saja.
Mujahid menyerahkan sendiri sumbangan kepada petugas barisan depan.
Sebahagiannya pula terpaksa memberikan hasil usaha mereka selama ini secara percuma kepada orang ramai kerana ia berlebihan selepas rantaian pengedaran hasil mereka terputus akibat PKP.
Perkara ini turut dirasai oleh nelayan dan petani di Parit Buntar, Perak kawasan di mana ahli parlimen mereka adalah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mantan Menteri Agama.
80% dari penduduk di kawasan beliau adalah tergolong dalam rakyat luar bandar yang kerja mereka adalah petani dan nelayan.
Menyedari hakikat inilah, Mujahid mengambil inisiatif dengan menyelamatkan mereka dan mempastikan hasil tangkapan dan tuaian petani sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Apa yang saya buat adalah saya memborong hasil tangkapan mereka dan sayur-sayuran petani dengan harga biasa dan saya bahagikan kepada pihak yang memerlukan.
“Sememangnya golongan yang memerlukan ikan dan sayuran ini ramai di kawasan saya kerana ramai yang hilang pekerjaan selepas PKP ini,” kata Mujahid dalam wawancara khas dengan Jom Channel, sebuah stesen TV Internet.
Menurut Mujahid, semalam beliau memborong satu lori ikan dari nelayan di Parit Buntar dan diedarkan kepada orang ramai yang memerlukannya.
“Saya tidak hantar terus kepada mereka kecuali yang perlu sahaja. Di bawah saya ada dua Dun. Jadi saya hantar ke pejabat dua Dun ini serta Pusat Khidmat saya.
“Dari situ, wakil-wakil cawangan AMANAH di seluruh Parit Buntar ini akan datang ambil untuk diedarkan kepada orang ramai yang memerlukan di kampung mereka,” kata Mujahid.
Mujahid membawa turun sayur-sayuran yang dibeli dari petani untuk diedarkan kepada orang ramai yang memerlukan sempena PKP.
Sebab itu, pihak yang memerlukan barangan itu tidak datang terus kepada beliau tetapi mendapatkannya dari pusat-pusat khidmat beliau melalui wakil-wakil setiap kampung.
Kesemua petugas sukarela beliau juga mematuhi arahan PKP termasuk mengekalkan jarak (sosial distancing) dan memakai topeng mulut dan sentiasa membersihkan tangan mereka.
RANGKAIAN PERKHIDMATAN
Sebagai ahli parlimen yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ, Mujahid mempunyai rangkaian yang lengkap di segenap ceruk di kawasan itu.
Sebab itu, apabila kerajaan mengarahkan agar badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik tidak mengedarkan sendiri bantuan mereka kepada orang ramai ketika PKP ini, ia tidak dipersetujui oleh Mujahid.
Antara pihak yang disantuni secara langsung oleh Mujahid adalah petugas barisan depan termasuk polis, askar dan jururawat.
Mujahid sedar, ketika tugas sebagai ahli parlimen perlu dijalankan, arahan kerajaan melalui PKP juga perlu dipatuhi.

No comments: