Bersatu Johor patut contohi Mukhriz, tak terjebak ‘Langkah Sheraton’


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor adalah ‘mangsa keadaan’ percaturan politik di peringkat persekutuan apabila mereka yang terlibat memulakannya dengan ‘Langkah Sheraton’.
Kesan paling malang kepada Bersatu Johor adalah hilang kerusi menteri besar. Bersatu Johor menjadi ‘korban’ paling sadis dalam sejarah pengkhianatan ini. Meskipun mungkin ia adalah ‘barter trade’ untuk membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan sebagai ketua kerajaan di peringkat persekutuan, namun tiada siapa boleh menafikan bahawa kehilangan kedudukan menteri besar di Johor memberi implikasi besar terhadap percaturan dan peranan setiap parti di peringkat negeri.
Dalam politik, kita boleh memahami bagaimana kedudukan menteri besar sebagai ketua eksekutif amat signifikan dalam banyak hal yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kelangsungan politik sesebuah parti.
Mungkin pada peringkat awal lagi, Bersatu Johor sepatutnya boleh mencontohi Kedah yang mengambil sikap berkecuali daripada mengikuti formulasi penjajaran semula politik di peringkat persekutuan yang membentuk Perikatan Nasional (PN). 
Tiada apa yang perlu dirisaukan berkaitan PN. Ramai pimpinan atasan dalam PN sendiri pun kerap kali menegaskan bahawa PN adalah gabungan politik yang rapuh dan tidak diikat oleh apa-apa perjanjian yang kemas. 
PN hanyalah berfungsi sebagai gabungan yang disifatkan ‘sementara’ sahaja pada saat krisis melibatkan ‘Langkah Sheraton’. Ibarat rumah tangga, PN bukanlah lahir kerana ikatan kasih dan cinta.
Selebihnya, tidak ada apa yang istimewa. Tidak ada setia kawan, tidak ada perjuangan bersama untuk mencapai kemenangan, tidak ada ‘susah senang bersama’ dalam berjuang untuk pilihan raya dan paling penting, tidak ada mandat rakyat yang sah yang membolehkan PN berjalan tegak bermaruah pada ketika ini. Yang ada hanyalah episod ‘sailang’ demi survival politik atas seribu satu alasan yang diwujudkan untuk mengabsahkan tindakan yang dilakukan.
Justeru, apa perlunya bergolok-gadai di Johor untuk bercakap soal PN? Bahkan PN ‘entah ada entah tidak’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, juga kita tidak pasti. 
Apabila Muhyiddin merelakan UMNO mengetuai kerajaan negeri di Johor, hakikatnya ia tidak memberi kekuatan kepada partinya sendiri. Sebaliknya, jika kita ambil contoh tindakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah misalnya, ia memberikan lebih kuasa dan ‘power of demand’ kepada Bersatu dalam PN yang sekadar merupakan kerjasama politik yang disifatkan sebagai ‘rapuh’ dan tidak memiliki hala tuju ke hadapan yang jelas.
Apa yang terlihat sekarang, UMNO terus mengambil kesempatan mengukuhkan kedudukan mereka pada saat ini. Langkah Muhyiddin dan rakan-rakan ‘Sheraton’ ibarat bonus yang mempercepatkan gerak kerja UMNO untuk kembali ke tampuk kuasa yang pastinya mewariskan politik lapuk serta tidak berintegriti di segenap lapisan kepimpinannya termasuklah kerakusan ‘warlord’ di peringkat akar umbi.
Bersatu Johor wajar mengikut jejak Bersatu Kedah. Dengan perkiraan kedudukan majoriti yang akan lebih kuat serta mendukung mandat diberikan oleh rakyat dalam PRU14 lalu, Johor boleh ditadbir secara stabil serta pembangunan negeri dapat diberikan fokus sepenuhnya.
Pasca PRU14, negara baru sahaja menjengah gerbang politik baru pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuklah di Johor. Iya, Bersatu sendiri parti yang baharu. PH juga adalah gabungan politik yang baharu. Namun kita tidak lemah untuk cepat belajar, menyesuaikan diri dan mengemukakan kepimpinan terbaik untuk masa depan negeri dan tanah air ini.

Kenyataan media bersama oleh Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Che Man. 


No comments: