Apakah kebimbangan ramai terhadap Muhyiddin Yassin apabila beliau melantik Dr. Jemilah Mahmood sebagai Penasihat Khas berkaitan kesihatan awam baru-baru ini?

Memandangkan berkaitan kesihatan awam pun Muhyiddin dilihat memerlukan seorang Penasihat Khas, kebimbangan ramai ialah lebih ramai lagi lantikan lain akan dibuat untuk menasihati beliau dalam bidang-bidang lain yang beliau kurang arif berkenaan dengannya.

Tidak mustahil, dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi, media dan komunikasi, antarabangsa, blok dunia tertentu dan sebagainya juga beliau akan memerlukan seorang Penasihat Khasnya.

Dalam keadaan sukar dan negara dibelenggu wabak Covid-19, jika perlantikan itu dilakukan, kebimbiangan ramai ialah ia bukan saja menambah kos tanggungan negara, bahkan mungkin juga hanya suatu pembaziran.

Ketika era PH berkuasa di mana Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, hanya dua Penasihat Khas dilantiknya.

Mereka ialah Mohamad Abdul Khalid sebagai Penasihat Khas Ekonomi dan A Kadir Jasin sebagai Penasihat Khas Media dan Komunikasi.

Tetapi, dalam era Najib Razak sebelum itu, beliau telah melantik 9 Penasihat Khas, termasuk Duta Khas yang kesemuanya bertaraf menteri.

Mereka ialah :-

• Dr  Abdullah Bin Md Zin, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri;
• Zainal Abidin bin Osman (arwah) Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara;
• Dr Rais Yatim, Penasihat Hal Ehwal Social dan Kebudayaan kepada Kerajaan Malaysia;
• Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China;
• Tiong King Sing, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan;
• S. Samy Vellu, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Dalam Bidang Infrastruktur;
• Shahrizat Binti Abdul Jalil, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita; dan
• Shaziman Bin Abu Mansor, Penasihat Khas Perdana Menteri
• Noh Omar, Penasihat Khas Perdana Menteri.

Apakah dalam hal ini, Muhyiddin mungkin akan turut melantik ramai Penasihat Khasnya, sama seperti yang dilakukan Najib sebelum ini?

Dan melihat kepada ramai kelompok yang perlu dijaga demi kelangsungan kuasa, khususnya daripada UMNO, Pas dan Bersatu yang seolah-olah sedang menagih habuan rampasan perang daripadanya, mampukah Muhyiddin berbuat sesuatu yang wajar dalam menyelamatkan wang negara melalui kerajaan tebuk atap yang dipimpinnya?

Kalau barisan menteri dan timbalan menteri lantikannya saja sudah merangkumi 70 orang jumlahnya, berbanding 55 ketika era Tun Mahathir, di mana mustahilnya untuk Muhyiddin tidak meniru perlakuan Najib yang melantik 9 Penasihat Khas sebelum ini? 
(ShahbudinHusin 02/04/2020)

No comments: