PKR Sabah teguh di belakang kepimpinan Shafie Apdal



PKR Sabah teguh di belakang kepimpinan Shafie Apdal
 Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Christina Liew mengulangi pendirian parti itu apabila menyangkal dakwaan bahawa pemimpin parti itu telah menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan ketua menteri.
“Dakwaan itu adalah tidak benar. Persoalan mengenai keraguan terhadap kepimpinan Ketua Menteri  tidak pernah dibangkitkan langsung. Kami adalah sebahagian daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai kerajaan dan berdiri teguh di belakang beliau dalam kepimpinan beliau mentadbir negeri.
“Kami secara terang-terangan berikrar menyatakan sokongan kuat kami kepada kepimpinan Datuk Seri Shafie demi kepentingan kemajuan dan pembangunan lebih besar bagi Sabah.
“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Api Api dan Ahli Parlimen Tawau, saya menyokong penuh kepimpinan ketua menteri. Beliau telah berjaya membuktikan kecekalannya untuk 21 bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berhubung khabar angin bahawa beliau akan berpaling tadah, Christina menjelaskan perkara sedemikian tidak akan berlaku.
“Saya berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan tidak berbelah bahagi dan integriti,” kata Christina.– BERNAMA


No comments: