MGF03122019_SIDANG-PARLIMEN26
Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Penamatan perkhidmatan semua ahli-ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di 10 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah kejam dan tidak sepatutnya berlaku.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di 10 kawasan Kuala Lumpur dan Labuan mendakwa tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan itu adalah tidak wajar ketika rakyat khususnya warga ibu kota berdepan dengan penularan Covid-19.
“Kami baru dimaklumkan pada hari ini bahawa perkhidmatan semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan Parlimen kami dihentikan berkuatkuasa 23 Mac 2020.
“Tindakan ini, pada ketika Malaysia di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, amatlah tidak patut dan amat kejam.
“Ini kerana sejak ahli MPP dilantik pada Januari 2019, mereka telah berkhidmat kepada semua penduduk KL dan Labuan tanpa mengira kaum, agama, mahupun fahaman politik dan Penduduk KL dan Labuan telah mengenali mereka dan mengharapkan bantuan khidmat masyarakat dari MPP,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu mewakili Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Tan Kok Wei (Cheras), Hannah Yeoh (Segambut), Teresa Kok (Seputeh), Nik Nazmi (Setiawangsa), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Datuk Rozman Ismail (Labuan).
Justeru kata mereka, ketika ini MPP juga dikerah untuk membantu rakyat dalam pelbagai program kebajikan.
“Penukaran MPP hanya akan melambatkan penyampaian sumbangan yang amat diperlukan terutama di kalangan golongan miskin bandar.
“Oleh itu, kami menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, agar mengutamakan rakyat ketika ini dan memberi pertimbangan khusus dan tidak menamatkan perkhidmatan MPP sedia ada.