Pelantikan Menteri dari Sabah tidak mewakili suara rakyat



Pelantikan Menteri dari Sabah tidak mewakili suara rakyat
Parti AMANAH Negara Negeri Sabah menyifatkan pelantikan dua Menteri dan empat Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah tidak mewakili suara rakyat di negeri ini.
Pengerusinya, Lahirul Latiji berkata, pelantikan tersebut tidak mewakili majoriti suara rakyat Sabah yang telah mengundi melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lepas.
Katanya, rakyat Sabah dengan jelas telah memilih Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Upko untuk menjadi Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Shafei Apdal.
“Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri daripada Ahli Parlimen yang minoriti dan parti yang hanya memiliki seorang dua sahaja ahli merupakan tindakan yang hanya memuaskan kehendak dan imbuhan.
“Adakah mereka seperti ini yang mewakili keseluruhan suara rakyat Sabah sekali gus telah terlibat dalam pembentukan kerajaan pintu belakang,” ujar beliau ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.
Justeru, Lahirul menegaskan ia tidak akan banyak memberi manfaat secara langsung terhadap usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam membangunkan dan mengangkat hak negeri ini terutamanya melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun kementerian khusus ditubuhkan untuk hak Sabah dan Sarawak.
“Perlu diingatkan juga bahawa sebarang usaha dalam bentuk dasar serta program terhadap Sabah perlu di bawah pengetahuan dan rundingan Kerajaan Negeri sebagai sebuah kerajaan yang sah bukannya tindakan sepihak sahaja,” katanya.
Semalam, pada pengumuman lantikan Menteri Kabinet Persekutuan, Muhyiddin telah melantik dua Menteri dan empat Timbalan Menteri dari Sabah.
Dua pemimpin yang mengisi jawatan Menteri ialah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), serta Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Pertanian dan Industri Makanan).
Manakala empat pemimpin yang menyandang jawatan Timbalan Menteri pula ialah Datuk Abd Rahim Bakri sebagai Timbalan Menteri Kewangan I, Arthur Joseph Kurup – Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Jonathan Yassin – Timbalan Menteri Dalam Negeri II, serta Datuk Dr Jeffrey G Kitingan – Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

No comments: