MB SELANGOR WAJAR DITUKAR ATAU DIKEKALKAN.



Setelah sebelum ini memberi pelbagai alasan untuk tidak mengadakan Konvensyen PKR di Selangor, Pengerusi PKR negeri, Amirudin Shari akhirnya dilaporkan setuju ia diadakan pada pagi Ahad, 22 Mac depan di Dewan Hamzah, Kelang.
Tetapi, konvensyen yang bakal diadakan ini bukan saja dikira sudah terlewat kerana Kongres Nasional PKR sudah pun dilangsungkan di Melaka pada Disember lalu, tetapi juga menampakkan Amirudin benar-benar penyokong totok kepada Azmin Ali.
Sepanjang Azmin masih ada dalam PKR, beliau bukan saja memberi pelbagai alasan dan menangguh-nangguhkan konvensyen di Selangor, malah dalam beberapa majlis yang memperlihatkan bekas Timbalan Presiden PKR itu menghentam Anwar Ibrahim, beliau sering saja memperlihatkan kehadirannya.
Berikutan sikapnya itu, sebelum PKR mengadakan kongresnya di Melaka itu, hanya Selangor satu-satunya negeri yang tidak mengadakan konvensyennya.
Kini, hanya setelah Azmin tiada lagi dalam PKR, nampaknya barulah beliau berani mengadakan konvensyen yang akan dihadiri oleh Anwar Ibrahim di Selangor.
Ikhlaskah Amirudin yang secara tiba-tiba sedia mengadakan konvensyen di Selangor?
Atau beliau mengadakan konvensyen ini semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor?
Dalam hal ini, wajarkah Amirudin terus dikekalkan lagi sebagai Menteri Besar, walaupun beliau telah memberi komitmen untuk terus kekal bersama PKR?
Tidak mungkinkah jika terus dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor, beliau nanti akan menjadi “api dalam sekam” yang boleh membuatkan PKR terbakar serta hangus daripada dalam? (ShahbudinHusin 11/03/2020)

No comments: