Kerajaan perlu pastikan dana PTPTN cukup – Nie Ching


Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching menggesa kerajaan menjelaskan pendekatan yang akan diambil bagi memastikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai pinjaman baru dan sedia ada. 
Katanya, penjelasan perlu dibuat lebih-lebih lagi jika kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk membantu PTPTN melaksanakan pinjaman secara bersindiket dengan institusi kewangan atau menerbitkan program sukuk berjaminan dalam tempoh masa terdekat.
Tambahnya, sumber utama kewangan PTPTN bergantung kepada pinjaman atau sukuk dari institusi kewangan.
Beliau mengulas keputusan kerajaan untuk melanjutkan masa penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN daripada tiga bulan kepada enam bulan melibatkan kutipan berjumlah RM750 juta. 
“Secara prinsip, saya menyokong inisiatif ini,” kata Nie Ching yang juga mantan Timbalan Menteri Pendidikan dalam kenyataan, hari ini. 
“Walau bagaimanapun, persediaan yang mencukupi dan perancangan yang teliti adalah amat diperlukan untuk memastikan bahawa kedudukan kewangan PTPTN dan juga bakal peminjam baharu tidak terjejas.”
Katanya, secara purata, PTPTN perlu menyediakan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun untuk membiayai pinjaman kepada 180,000 peminjam baharu dan 420,000 peminjam sedia ada.
“Setakat 2019, geran dari Kerajaan Persekutuan adalah RM5.295 bilion, yang telah disalurkan pada 1997 hingga 2002. 
“Sejak 2003, tiap-tiap tahun PTPTN mengumpul dana melalui pinjaman atau sukuk. Jumlah keseluruhan dana pinjaman jangka panjang PTPTN setakat 2019 adalah RM54.2 bilion dan jumlah yang telah dibayar adalah RM16.9 bilion,” ujarnya. – 


No comments: