AHLI PARLIMEN SENIOR UMNO YANG TIDAK MENDAPAT JAWATAN AKAN GUGAT KABINET MUHYIDDIN?



Sebagaimana kita sedia maklum, UMNO merupakan blok terbesar dalam PN dengan jumlah Ahli Parlimennya seramai 39 orang.
Bagaimanapun, dalam sususan kabinet yang diumumkan semalam, hanya 16 Ahli Parlimen UMNO yang dilantik, sama ada sebagai menteri mahu pun timbalan menteri.
Seorang wakil UMNO, Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang dijadikan Timbalan Menteri Alam Sekitar bukan merupakan Ahli Parlimen dan akan dilantik sebagai senator terlebih dahulu.
Ini bermakna, ada 23 Ahli Parlimen UMNO diketepikan dalam susunan kabinet yang diumumkan oleh Muhyiddin Yassin semalam.
Keadaan ini tentu saja berbeza dengan bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Azmin Ali yang jumlahnya hanya 10 orang, tetapi 9 daripadanya diberikan habuan jawatan menteri dan timbalan menteri oleh Muhyiddin.
Azmin, Zuraidah Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah telah dilantik semula sebagai menteri, manakala Kamaruddin Jaafar, Mansor Othman, Ali Biju, Jonathan Yassin, Willie Mongin dan Santhara Kumar turut membarisi kabinet sebagai timbalan menteri.
Hanya Ahli Parlimen Batu Pahat, Abdul Rashid Hasnon tidak dilantik sebarang jawatan, tetapi beliau ketika ini masih lagi memegang jawatan sebagai Timbalan Speaker Parlimen.
Juga berbeza dengan Pas, daripada jumlah 18 Ahli Parlimen parti itu yang menyumbang kepada tertubuhnya PH, hanya 8 orang saja diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri.
Bermakna, dalam susunan kabinet yang diumumkan semalam, hanya geng Azmin yang benar-benar meraih untung dan dihargai oleh Muhyiddin.
Daripada jumlah 23 Ahli Parlimen UMNO yang tidak dilantik itu, sebahagiannya adalah bekas menteri dan pemimpin senior dalam parti serta dikenali sebagai antara yang kuat bekerja ketika UMNO berada sebagai pembangkang sebelum ini.
Di antara 23 Ahli Parlimen UMNO yang tidak dilantik itu ialah Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Mahadzir Khalid, Nazri Aziz, Bung Mokhtar Radin, Abdul Azeez Rahim, Noh Omar, Shahidan Kassim, Idris Jusoh, Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Maslan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Azalina Othman.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan yang bukan Ahli Parlimen turut tidak diberikan sebarang jawatan dalam kabinet.
Dalam hal ini, ada yang sinis bertanya, kalau ramai yang lain boleh dilantik sebagai senator untuk membolehkan mereka mengisi jawatan menteri dan timbalan menteri, mengapa tidak kepada Mohamad Hassan yang merupakan pemimpin nombor dua dalam UMNO?
Muhyiddin yang tidak mahu melantiknya atau UMNO yang tidak menyenaraikan Mohamad Hassan?
Daripada barisan Ahli Parlimen UMNO yang tidak dilantik itu, meskipun sebahagiannya sedang berdepan perbicaraan kes di mahkamah dan tentu saja dijadikan alasan untuk tidak melantik mereka, tetapi bagaimana dengan Shahidan Kassim, Idris Jusoh, Nazri Aziz, Noh Omar, Tajuddin Rahman dan lain-lainnya?
Adakah mereka tidak layak dilantik semula sebagai menteri berbanding Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah?
Dalam kedudukan PN yang majoritinya masih tidak jelas dan bakal ditentukan dalam sidang Parlimen 18 Mei depan, mampukah Muhyiddin mempertahankan kerajaannya daripada ditumbangkan melalui undi tidak percaya?
Dengan khabar bahawa selepas susunan kabinet semalam, majoriti yang dimiliki Muhyiddin dan PN hanya 113 daripada 222 jumlah keseluruhan Ahli Parlimen, bagaimana jika tiga atau empat Ahli Parlimen senior UMNO yang tercicir itu tiba-tiba berubah haluan?
Atau mungkinkah ada yang bakal mengubah haluan lebih awal sebelum sidang Parlimen 18 Mei depan? (ShahbudinHusin 10/03/2020)

No comments: