PH dakwa Anwar peroleh majoriti untuk jadi PM

Tarikh Kemaskini :
28/02/2020 08:18 PM
PETALING JAYA , 28 Feb  -- Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli Parlimen terhadap calon PH itu sebagai perdana menteri baharu.

“Majlis Presiden percaya bahawa  Anwar telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dalam kalangan Ahli Parlimen berdasarkan proses yang telah ditentukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tempoh hari,” menurut kenyataan Majlis Presiden PH itu, hari ini.

Kenyataan itu menyatakan Majlis Presiden meletakkan kepecayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Seri Paduka untuk mencari penyelesaian dalam proses pelantikan perdana menteri.

Terdahulu, dalam kenyataan berasingan, Istana Negara, menyatakan bahawa berdasarkan proses temu bual selama dua hari itu, Seri Paduka masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin itu merujuk kepada hasil temu bual di antara Seri Paduka dan Ahli Parlimen yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa di Istana Negara. 

Dalam perkembangan lain, PH hari ini mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Petaling Jaya selama lebih dua jam pada sebelah petang. 
-- BERNAMA


No comments: