KEPUTUSAN DIPATUHI,TAPI BUKAN SEMUA SUKA MAHATHIR KEKAL SAMPAI BILA BILA.



Meskipun Majlis Presiden dalam mesyuaratnya semalam telah membuat keputusan agar Tun Mahathir Mohamad yang menentukan bila tarikh peralihan kuasa mahu dilakukannya kepada Anwar Ibrahim selepas selesai Sidang Apec pada November depan, tetapi nampaknya ramai yang terus berbelah lagi dengan perkara itu.
Sementara keputusan itu harus dihormati, lebih ramai yang sangsi bahawa Tun Mahathir benar-benar seorang yang jujur, ikhlas dan berpegang kepada janji.
Jika sebelum ini janji dua tahun sudah dimungkirinya, kini tidak ada jaminan janji serah kuasa selepas Sidang Apec juga tidak akan dimunafikinya.
Demi kuasa, Tun Mahathir telah terbukti sanggup melakukan apa saja bagi matlamat itu.
Apatah lagi dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden malam tadi, ternampak benar keangkuhan dan kesombongannya di sebalik usianya yang sudah menuju 95 itu.
“Akhirnya semuanya diserah kepada saya. Apa yang saya cakap mereka akan turut. Peralihan kuasa hanya akan berlaku selepas Sidang Apec.
“Tiada tempoh masa (timeframe), terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas atau tidak.  Itulah kepercayaan yang dipersetujui oleh Majlis Presiden kepada saya,” katanya.
Dalam hal ini, memang benar persetujuan diberikan kepadanya menentukan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang Apec, tetapi apakah “terpulang kepada saya sama ada nak lepas atau tidak” itu juga merupakan perkara yang dipersetujui oleh Majlis Presiden?
Dari segi logik, setelah Majlis Presiden menyetujui agar Tun Mahathir menentukan tarikh peralihan kuasa selepas selesai Sidang Apec, tentulah mustahil mereka juga menyetujui agar “terpulang kepadanya sama ada nak lepas atau tidak”.
Jika itu dipersetujui, bermakna Anwar yang turut hadir dalam mesyuarat itu dengan sendirinya tidak mahu Tun Mahathir menyerahkan kuasa kepadanya.
Kalau mahu diserah kepadanya sama
ada nak lepas atau tidak, memang sah Tun Mahathir akan pegang jawatan Perdana Menteri ini sehingga mati.
Tidakkah itu sesuatu yang mustahil sebenarnya, sedangkan kedudukan Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir adalah ketetapan dan perjanjian dalam PH yang sudah dimuktamadkan sebelum PRU14 lagi?
Tetapi, mengapa Tun Mahathir dengan selamba masih menyebut “terpulang kepada saya sama ada nak lepas atau tidak” dalam sidang medianya?
Hakikatnya, itulah Tun Mahathir yang tidak pernah kenyang dan sentiasa lapar bila ada kuasa.
Kalau sebelum ini beliau berdolak-dalik berhubung tempohnya memegang jawatan Perdana Menteri mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang, kini beliau meneruskan lagi agendanya ingin kekal berkuasa dengan mengatakan “terpulang kepadanya sama ada nak lepas atau tidak” walaupun perkara itu mustahil dipersetujui dalam mesyuarat.
Maka itu, tidak ramai yang dapat menerima keputusan mesyuarat Majlis Presiden malam semalam, walaupun menghormati keputusan tersebut.
Ramai yang percaya, Tun Mahathir memang tidak mahu menunaikan janji peralihan kuasa itu dan sedang mencari masa dan alasan lain untuk memungkirinya.
Sehingga November nanti, macam-macam perkara boleh berlaku dan dirancangnya bersama kuasa yang masih terkumpul atas jawatan Perdana Menteri yang disandangnya.
Dalam hal ini, sementara keputusan mesyuarat Majlis Presiden itu dihormati, gerakan menuntut janji peralihan kuasa dikekalkan pada Mei haruslah terus berjalan dan digerakkan.
Gerakan seperti itu, tidak kira diusahakan oleh siapa jua, setidak-tidaknya menunjukkan tidak semua tidur lena dan gembira dengan keputusan mesyuarat semalam.
Yang lebih penting, tidak semua suka Tun Mahathir ada lebih lama sebagai Perdana Menteri. (ShahbudinHusin 22/02/2020)


No comments: