SELAGI TIADA TARIKH PENYERAHAN KUASA..ORANG RAMAI PASTI BERCAKAP MENGENAINYA.



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Tun Mahathir Mohamad telah menetapkan garis masa untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, kata beliau, Majlis Presiden PH akan membuat keputusan dan mengumumkan tarikh penyerahan kuasa itu pada masa yang “sesuai”.
“Perdana Menteri telah menetapkan garis masa. Semestinya, Majlis Presiden PH akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut.
“Saya pasti tarikh akan ditetapkan dan ia akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya lagi.
Walaupun kenyataan Guan Eng ini nampak melegakan, ia sebenarnya belum mampu menyelesaikan masalah sebenar berkaitan peralihan kuasa itu.
Ini kerana, yang ingin diketahui ramai bukan garis masa, tetapi bilakah tarikh sebenar peralihan kuasa itu sedia dilakukan oleh Tun Mahathir?
Selagi tarikh khusus tidak ditetapkan, ketidaktentuan dan kecelaruan akan berterusan dalam PH.
Dan selagi tiada tarikh khusus juga, tidak munasabah melarang sesiapa bercakap mengenainya.
Kalau mahu orang tidak bercakap mengenainya, cepat-cepat umumkan tarikhnya. Titik.
Namun demikian, adakah garis masa yang disebut telah dinyatakan oleh Tun Mahathir itu bermaksud selepas Sidang Apec November 2020?
Kenapa garis masa itu seolah-olah sudah mahu dipersetujui, sedangkan ia belum dibincangkan lagi dalam Majlis Presiden PH?
Mengapa tidak berpegang kepada Mei 2020 iaitu dua tahun setelah Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri?
Bukankah itu janji asal Tun Mahathir sendiri?
Selain itu, bilakah Majlis Presiden PH mahu bermesyuarat bagi membincangkan tarikh peralihan kuasa itu?
Kenapa susah sangat untuk membincangkannya dan perlu ambil masa terlalu lama untuknya?
Lagi lama perkara ini tergantung di awang-awangan, haruslah disedari bahawa lagi berpecah PH kerananya.
Untuk itu, mahu tidak mahu, Majlis Presiden PH harus proaktif dan tidak berlengah menyelesaikan isu peralihan kuasa ini demi kebaikan bersama.
Lagi pun, yang dituntut bukan pengunduran atau perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, tetapi cuma untuk memenuhi janji dua tahun penyerahan jawatan sebagaimana yang selalu disebut-sebut oleh beliau sendiri. (ShahbudinHusin 22/01/2020)

No comments: