KEKECEWAAN RAKYAT BUKAN KEPADA PH, TETAPI KEPADA MAHATHIR



Masalah paling utama yang dihadapi PH ketika ini bukan saja kehilangan sokongan daripada rakyat biasa yang mengundi gabungan itu pada PRU14 lalu, tetapi juga mula hilang sokongan daripada kalangan penyokong tegarnya sendiri.

Bagi yang mengundi PH yang menggunakan logo PKR untuk menumbangkan BN pada PRU lalu, kekecewaan utama ialah kerana banyak janji-janji utama yang gagal ditunaikan.

Janji utama berkaitan PTPTN yang mana pinjaman hanya perlu dibayar setelah peminjam bergaji RM4000 sebulan masih lagi tidak ditunaikan, malah pemimpin-pemimpin PH tidak lagi pun bercakap mengenainya.

Yang ditunaikan hanyalah janji picisan seperti sekatan imigresen dan beberapa cebisan yang lain.

Dalam hal ini, PH jangan lupa bahawa janji utama yang banyak didendangkan untuk menarik sokongan rakyat ketika kempen PRU14 ialah tentang bayaran semula setelah peminjam bergaji RM4000 sebulan itu.

Maka, sepatutnya janji itulah yang harus diutamakan lebih dulu berbanding janji picisan yang lain.

Begitu juga dengan janji pemansuhan tol, walaupun yang dijanjikan adalah pemansuhan secara berperingkat-peringkat, apa yang ditunaikan hanyalah pengurangan kadar sebanyak 18 peratus bersama pemanjangan tempoh konsesi selama 20 tahun lagi sehingga 2058.

Persoalannya, bilakah janji memansuhkan tol mahu ditunaikan?

Yang turut membuatkan rakyat paling kecewa ialah apabila Tun Mahathir Mohamad, tidak lama selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, tanpa segan silu mengatakan Buku Harapan yang mengandungi janji-janji kepada rakyat itu bukanlah kitab suci yang wajib ditunaikan.

Ini benar-benar suatu kenyataan tidak bertanggungjawab daripada seorang Perdana Menteri setelah memperolehi undi serta sokongan daripada rakyat.

Kenapa sebelum PRU14 tidak berani mengatakan Buku Harapan bukan sebuah kitab suci?

Disebabkan pendirian Tun Mahathir itulah maka pengundi PH mula menjauhkan diri selepas PH menjadi kerajaan dan mula kembali menyokong Najib Razak, terutamanya anak-anak muda kerana mereka rasa dipermainkan oleh PH yang sedang mentadbir kerajaan yang diketuai oleh Tun Mahathir.

Bukanlah mereka suka sangat untuk Najib dan BN kembali mentadbir negara, tetapi anak-anak muda ini sedang menghantar mesej yang seharusnya mudah difahami oleh PH.

Mesej itulah juga yang sedang dihantar oleh rakyat melalui beberapa kekalahan PH dalam pilihanraya kecil, dengan terakhir di Kimanis Sabtu lalu.

Selain itu, bagi penyokong tegar PH yang semangat reformasi telah meresapi sebahagian besar salur nadi perjuangan mereka, janji-janj reformasi dalam negara yang langsung tidak berlaku sehingga ini adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Setelah 20 bulan menjadi kerajaan, meskipun melakukan reformasi institusi tidak memerlukan apa-apa kos atau perlu meletakkan beban hutang 1MDB sebagai alasan, malangnya ia langsung tidak menunjukkan kemajuan.

Akta-akta drakonian yang mencengkam rakyat yang begitu kuat dilaungkan ketika kempen PRU14, tiada satu pun yang dimansuhkan setakat ini.

Asyik-asyik alasannya ialah sedang dalam kajian, sedang dalam kajian dan sedang dalam kajian.

Begitu juga reformasi dalam perlantikan dalam perlantikan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang banyak dikempenkan sebelum ini langsung tidak berlaku dan semuanya masih lagi sama ketika era BN di mana kuasa melantiknya terletak di tangan Perdana Menteri.

Tidak berlakunya reformasi itu , jika diteliti adalah kerana Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, tidak mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukannya sehingga S Ambiga, pejuang masyarakat sivil yang terkenal baru-baru ini mengeluarkan ancaman akan berdemo di jalanraya jika reformasi yang dijanjikan tidak segera dilakukan.

Bukankah ini sesuatu yang memalukan PH?

Dalam hal ini, Tun Mahathir ternampak lebih selesa dengan gaya pemerintahan ala BN tanpa reformasi institusi yang dengan itu mampu meletakkannya seperti “maharaja paling berkuasa” dalam negara.

Tetapi, sedarkah Tun Mahathir, untuk apa mahu memperlihatkan dirinya begitu berkuasa, bukankah beliau hanya Perdana Menteri sementara selama dua tahun saja?

Begitu pun, antara PH dan Tun Mahathir, sama ada bagi rakyat biasa atau penyokong tegar gabungan itu, kekecewaan sebenar mereka adalah lebih kepada Tun Mahathir.

Tun Mahathir dengan kuasa yang terkumpul di tangannya telah berjaya melambat-lambatkan reformasi institusi dalam kerajaan melalui penciptaan pelbagai alasan, sambil menjinakkan beberapa pemimpin PH sendiri dengan kedudukan serta jawatan.

Harapan rakyat secara umumnya masih tinggi kepada PH dalam mentadbir negara ini dan untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat, seterusnya untuk memenangi PRU15 akan datang.

Rakyat tidak lupa bagaimana sebelum adanya Tun Mahathir, PH atau sebelumnya Pakatan Rakyat, telah pun berjaya memberi contoh pentadbiran dan kerajaan yang cekap serta mesra rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Berdasarkan kejayaan di Selangor dan Pulau Pinang itu, PH bukan saja tidak mengecewakan rakyat, malah tetap diyakini, tetapi yang benar-benar membuatkan rakyat kecewa kepada PH adalah disebabkan Tun Mahathir.

PH sebagai kerajaan selama 20 bulan ini, bukan saja tidak banyak berbeza dengan era BN yang telah ditumbangkan, malah seakan-akan gaya lama PM4 yang begitu dibenci dahulu yang sedang mentadbir negara sekarang ini.

Apakah kita mahu PH ini terus menerus kehilangan sokongan dan mengecewakan rakyat? (ShahbudinHusin 20/01/2020)

No comments: