ZURAIDA MELAMPAU.TINDAKAN DISIPLIN DICADANGKAN UNTUK BELIAU.



Usai Kongress Nasional KEADILAN di Melaka pada Ahad lalu dengan jelas menunjukkan bahawa suatu pergeseran dalaman parti sedang berlaku.
Namun perkara ini sedaya upaya sedang cuba diselesaikan oleh Presiden KEADILAN YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan jelas dan tuntas menyatakan di dalam ucapan beliau dan kepada media bahawa satu titik temu penyelesaian perlu dicari serta dicapai bagi merungkai masalah yang sedang berlaku.

Ini juga selaras dengan langkah bagi meneruskan musyawarah selepas pertemuan Presiden dengan Timbalan Presiden YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di bangunan Parlimen sebelum kongres berlangsung di Melaka pada 4 Disember 2019 lalu.

Namun begitu, saya amat terkejut dengan kenyataan beberapa pemimpin kanan KEADILAN pada satu majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama” yang telah dianjurkan oleh pihak Timbalan Presiden di Hotel Renaissance pada Isnin lalu.

Saya percaya majlis makan malam ini sememangnya telah dirancang lebih awal dan diadakan bagi menggantikan “Kongres Renaissance” yang terpaksa dibatalkan.

Kenyataan Naib Presiden KEADILAN YB Zuraida Kamaruddin pada majlis berkenaan yang dengan lantang mencaci dan menghina beberapa pemimpin KEADILAN antaranya Pengarah Komunikasi YB Fahmi Fadzil dan Pengerusi MPN Perak Saudara Farhash, adalah jelas melampau serta terkeluar daripada landasan adab dan akhlak.

Serangan beliau kepada keperibadian Fahmi dan Farhash ini adalah sangat mendukacitakan serta tidak menunjukkan perilaku yang selayaknya sebagai seorang menteri kabinet.

Saya turut difahamkan bahawa didalam majlis itu YB Zuraida juga dengan bongkaknya telah membongkar beberapa perkara yang kononnya merupakan perbualan beliau dengan Presiden KEADILAN.

Ini merupakan satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan Presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan dengan itu, saya akan mencadangkan kepada Lembaga Disiplin Parti KEADILAN untuk mengambil tindakan yang tegas dan keras terhadap Naib Presiden YB Zuraida Kamarudin kerana perkara- perkara yang telah dilakukan oleh beliau ini jelas melanggar etika dan disiplin parti serta tidak boleh diterima sekali apatah lagi ia dilakukan oleh seorang pemimpin kanan parti yang seharusnya menjadi contoh dan suri tauladan kepada anggota parti yang lain.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan PKR
10 Disember 2019.

No comments: