NEGARA TETAP PERLUKAN RAFIZI, WALAUPUN KERAJAAN SEMASA TIDAK PEDULIKANNYA



Hari ini barangkali merupakan hari yang benar-benar menggembirakan buat Rafizi Ramli.

Ini berikutan beliau kini bebas sepenuhnya daripada beban perundangan setelah Pejabat Peguam Negara menarik balik rayuan pembebasannya di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan atau BAFIA.

“Pagi ini Peguam Negara melalui Timbalan Perdakwa Raya (DPP) telah menarik balik notis rayuan yang difailkan sebelum ini. Notis rayuan itu telah ditandatangani oleh Tommy Thomas sendiri (Peguam Negara).

“Ini bermakna keputusan melepaskan dan membebaskan Rafizi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lalu adalah kekal. Kini Rafizi lepas dan bebas sepenuhnya,” jelas peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid.

Begitu pun, kegembiraan bekas Naib Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Pandan itu tentunya tidak dikongsi sepenuhnya oleh penyokong-penyokong beliau dalam PKR serta mereka yang rasa terhutang budi dengan banyak sumbangannya selama ini dalam usaha menumbangkan UMNO dan BN.

Rata-rata mereka rasa terkilan dan kecewa dengan keputusan yang dibuatnya beberapa hari lalu untuk bersara sepenuhnya daripada politik.

Kata mereka, keputusan itu adalah mengejutkan dan tidak sepatutnya diambil, lebih-lebih lagi dalam suasana politik semasa sekarang memperlihatkan keberadaan Rafizi dalam PKR khususnya, masih lagi diperlukan.

Rafizi selama ini banyak membuka mata masyarakat berhubung pendedahannya dalam kes NFC, Tabung Haji, 1MDB, Yapeim dan beberapa skandal yang lain.

Dalam semua pendedahannya itu, Rafizi telah berjaya mengemukakan fakta-fakta yang mengejutkan, sekaligus menyebabkan rakyat semakin sedar betapa bobroknya kerajaan yang ditadbir oleh BN dan perubahan mesti dilakukan.

Dalam PRU14 lalu pula, meskipun dilarang bertanding kerana dijatuhi hukuman di bawah Akta BAFIA kerana mendedahkan skandal NFC, Rafizi tetap bekerja keras berkempen ke seluruh negara bersama trak bergeraknya.

Harus diakui, melalui trak bergerak dan beberapa siri pendedahan skandal dalam BN itulah yang tidak harus dinafikan turut sama menyumbang kepada kemenangan PH dan seterusnya hari ini berjaya menjadi kerajaan.

Maka itu, meskipun sumbangan dan peranan Rafizi seolah-olah tidak dihagai oleh kerajaan PH hari ini, sebaliknya mereka yang pernah menolak Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sebelum PRU14 lalu lebih diberikan laba jawatan dan kedudukan, beliau tidak seharusnya mudah mengalah, lemah dan patah semangat.

Dunia memang selalu begitu, kaca lebih menyerlah cahayanya berbanding permata.

Lagi pun, mereka yang masih menyokong dan menghargai sumbangannya tidak pernah sama sekali melupakannya.

Dengan usianya yang masih muda, Rafizi ada masa depan yang cerah di hadapannya, lebih daripada itu, berbanding ramai pemimpin dan menteri yang ada sekarang, negara lebih memerlukan kebolehannya berbanding mereka itu.

Oleh itu, Rafizi harus menilai kembali keputusan bersara yang dibuatnya itu agar dalam dia gembira kerana bebas dan lepas sepenuhnya, ramai yang lain juga dapat bergembira sama dengan sumbangan dan khidmat baktinya kepada masyarakat.

Tidak lama lagi, peranan beliau pasti akan lebih diperlukan dalam negara ini. (ShahbudinHusin 13/12/2019)


No comments: