MEMFITNAH ANWAR DIBENARKAN OLEH UNDANG2??



Zunar adalah Mantan Ketua editor Suara Keadilan sejak selepas Raja Petra.

Oleh: Zunar

Mei 2005, seorang rakyat Palestin, Jamal Abder Rahman (Jamal Amro) hadir di mahkamah di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan dalam kes Anwar Ibrahim.

Jamal Amro menjalankan perniagaan menyewa limousine di Amerika Syarikat. Antara yang menggunakan khidmat limousinenya ialah menteri-menteri kabinet termasuk Anwar (timbalan perdana menteri ketika itu). Jamal mendedahkan dalam mahkamah bahawa beliau didekati oleh seorang pegawai kedutaan Malaysia yang menaiki limousinenya di jambatan Delaware, berdekatan New Jersey. Dalam perbualan itu, seperti yang beritahu dalam mahkamah, pegawai tersebut menawarkan wang USD200,000 sekiranya beliau sanggup mengaku melakukan seks dengan Anwar. Jamal menolak. Nama pegawai itu disebut dalam pengakuan bersumpah dan disebut dalam mahkamah oleh Jamal.

Ketika itu mahkamah sedang membicarakan tuduhan yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar bahawa Anwar meliwat beliau.

Azizan, ketika disoal balas oleh peguam Christopher Fernando
bukan saja mengaku beliau tidak diliwat, tetapi menambah bahawa beliau diarahkan oleh seorang pegawai polis (namanya disebut dalam mahkamah) untuk berbuat membuat pengakuan.

Azizan mulanya berkata bahawa perbuatan itu berlaku di Tivolli Villa pada tahun 1992. Tetapi kemudian menukar kepada ‘satu hari dalam bulan Januari hingga Mac 1993' apabila menyedari Tivolli Villa belum siap pada tahun 1992.

Saya sertakan perbualan dari rekod mahkamah:
Fernando: Tarikh 1992 adalah palsu?
Azizan: Ya
Fernando: Saya katakan kepada kamu tarikh pertuduhan dipinda kepada 1993 sebab bangunan (Tivoli Villa) belum siap untuk diduduki?
Azizan: Saya tak tahu.
Fernando: Adakah anda setuju dengan cadangan saya tadi?
Azizan: Ya.
Fernando: Siapa yang menyuruh anda menukar tarikh kepada 1993?
Azizan: (nama pegawai polis itu disebut).

Kedua-dua keterangan ini disebut secara bersumpah dalam mahkamah. Ia harus diterima sebagai kebenaran kerana pihak peguam kerajaan juga tidak membantah.

Apakah tindakan diambil oleh polis atau pihak berkuasa terhadap pegawai kedutaan dan pegawai polis tersebut? Tidak! Sebaliknya Anwar terpaksa merengkok hampir 11 tahun lamanya dalam penjara. Apakah jika fitnah sebegini dilemparkan kepada tokoh-tokoh politik yang berkuasa, pihak polis juga akan berdiam diri?

Atau apakah di Malaysia ada dua jenis undang-undang? Satu untuk ahli-ahli politik yang berkuasa dan satu lagi untuk Anwar?

Kita tahu bahawa pemfitnah-pemfitnah ini menjadi berani kerana mereka dilindungi oleh tokoh-tokoh politik tertentu. Mereka juga tidak mustahil menerima habuan lumayan, seperti yang diakui oleh Jamal Amro.

Tetapi kerja polis bukan bermain politik. Kerja polis ialah membanteras jenayah, tanpa memilih bulu, without fear or favour. Tegas dan bertindaklah terhadap pemfitnah-pemfitnah ini untuk menjadi pengajaran kepada yang lain.

Kegagalan polis untuk bertindak ke atas pemfitnah-pemfitnah ini, memberi signal yang salah kepada masyarakat. Seolah-olah ada peraturan tidak bertulis bahawa "kamu dibenarkan memfitnah, asalkan ia dilakukan terhadap Anwar."
Akibatnya, watak seperti Azizan, Saiful, Datuk T dan lain-lain akan terus muncul dalam masyarakat.

Seperti yang dihairani oleh Mohideen Abdul Kadir, salah seorang keluarga kepada Muhammad Yussof Rawther dalam kenyataan akhbarnya semalam bahawa: "ingatkan ini budaya politik Malaysia Lama, rupanya masih diteruskan di era Malaysia Baharu."

Tepat sekali, ia tidak akan pernah berhenti sekiranya tiada tindakan tegas dari polis.

5 Disember 2019
Zunar



No comments:

Post a Comment