HARAP-HARAP AZMIN TIDAK PONTENG MESYUARAT LAGI SELEPAS INI!!



Walaupun kesediaan Anwar Ibrahim berdamai dengan Azmin Ali adalah sesuatu yang baik untuk PKR, tapi masih ramai penyokong beliau tidak dapat menerima sepenuhnya perkara itu.

Lebih-lebih lagi perdamaian itu berlaku setelah Anwar di Konvensyen Perak Selasa lalu memberi amaran “jangan uji kesabaran saya?” kepada kelompok yang dilihat cuba melemah dan menggambarkan PKR seolah-olah berpecah.

Berdasarkan perkembangan sejak setahun yang lalu, amaran Anwar itu jelas ditujukan kepada Azmin dan para penyokongnya.

Dengan itu, penyokong setia Anwar dalam PKR lebih mahu, sekurang-kurangnya wajar Azmin diberikan amaran keras atau tindakan lain yang bersesuaian sebelum huluran tangan perdamaiannya disambut.

Mereka melihat tindakan Azmin sejak lebih setahun lalu dengan tidak hadir mesyuarat dan kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti serta secara terbuka menyanggah Anwar atas kedudukannya selaku Presiden PKR, bukanlah perkara yang seharusnya boleh dimaafkan begitu saja.

Lantaran itu, ramai penyokong Anwar ternampak kecewa dan tidak puas hati dengan perdamaian tersebut.

Tetapi, selaku peneraju parti, Anwar tentunya mempunyai perkiraan yang lebih besar tentang masa depan PKR berbanding menghukum Azmin dan beberapa pengikut setianya yang turut celupar menyanggah parti sebelum ini.

Memikirkan bahawa kedudukan parti adalah penting, tambahan lagi Anwar bakal mengambil alih teraju kepimpinan negara pada tahun depan, penyokongnya dalam hal ini harusnya faham serta meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan.

Lupakanlah sementara pergeseran dalam parti, sebaliknya yang mesti dipamerkan ialah PKR mesti dilihat dalam keadaan kuat, berpadu dan Anwar adalah ketua yang satu serta tiada lagi elemen parti dalam parti boleh terus menjalar.

Lupakanlah juga sebarang syak wasangka sama ada Azmin ikhlas atau kerana beliau sudah tidak boleh pergi dengan lebih jauh lagi dengan segala perencanaannya, maka itu beliau sedia berdamai dengan Anwar di saat-saat akhir sebelum kongres diadakan.

Apa yang harus difahami, dengan sedia berdamai dengan Anwar, bermakna Azmin menerima kepimpinan beliau dalam menerajui parti serta bakal Perdana Menteri seterusnya.

Begitu pun, perdamaian ini tidak membebaskan Azmin daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR dan boleh bebas melakukan apa saja tanpa terikat dengan hukum organisasi.

Beliau selepas ini, mesti menunjukkan komitmen yang benar-benar tinggi disertai dengan kesediaan sepanjang masa untuk bersama-sama Anwar dalam memperkukuh parti, meskipun ada beberapa permintaannya dalam pertemuan dengan Anwar semalam belum lagi sedia ditunaikan.

Janganlah selepas ini ponteng mesyuarat lagi atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti dan juga PH.

Janganlah juga mempertikaikan lagi peralihan kuasa yang telah dipersetujui PH dengan pelbagai kenyataan yang mengelirukan atau kabur.

Juga janganlah berjumpa pihak musuh di malam-malam hari atau secara sembunyi-sembunyi.

Jika amalam buruk sejak setahun lalu terus diulangi lagi selepas ini, Azmin bukan saja menempah bala berkaitan masa depannya bersama PKR, malah tidak ada sesiapa akan mempercayainya lagi.

Tambahan lagi, berdasarkan kunjungan Anwar ke negeri-negeri menghadiri konvensyen PKR sejak beberapa bulan lalu, beliau kini jelas mendapat sokongan padu daripada akar umbi parti itu dan sesetengahnya tidak sabar lagi untuk melihatnya menjadi Perdana Menteri.

Dengan sokongan sedemikian, jika Azmin tidak sedia berubah selepas berdamai dengan Anwar semalam, bermakna beliau memang sengaja menempah laluan gelap untuk dirinya sendiri. (ShahbudinHusin 05/12/2019)


No comments: