Friday, December 6, 2019

BERDAMAI ITU BAIK TETAPI JANGAN TERPESONA DENGAN PERDAMAIAN




Apabila bercerita soal 'perdamaian' sudah pastinya ianya mendamaikan hati kita.  Manusia yang ada hati dan perasaan normal tidak akan suka kepada pergaduhan dan perpecahan.

Saya suka membaca kisah sejarah peperangan  yang terkenal dan selalu diungkap oleh agamawan  apabila berbicara tentang erti perdamaian dan pengkhianat kepada perdamaian.  Kisah perang Siffin amat terkenal untuk dijadikan panduan dan renungan.

Peristiwa Perang Siffin, ianya merupakan peperangan di antara tentera Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah. Ianya berlaku pada penghujung pemerintahan Saidina Ali.

Dalam peringkat-peringkat awal peperangan ini, tentera Saidina Ali memang jelas menguasai pertempuran. Mereka mengasak kedudukan Muawiyyah hingga kelihatan seolah-olah mereka akan mencapai kemenangan. Dalam saat-saat yang genting sebegini, Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita”.

Tindakan ini bertujuan untuk meminta pihak Saidina Ali untuk sama-sama menghentikan peperangan dan merujukkan persoalan dan perbalahan yang sedang mereka hadapi kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, biarlah ianya diputuskan secara berbincang berdasarkan Al-Quran dan bukannya peperangan. 

Matlamat sebenar tindakan ini dijelaskan oleh Amr Al-As sendiri. Beliau berkata kepada Muawiyyah, “Bila sebahagian dari mereka menolak, pasti akan ada kelompok yang lain yang berkata; ‘Sepatutnya kita menerima’. Maka dengan demikian akan terjadilah perpecahan di kalangan mereka. Dan sekiranya mereka semuanya sepakat untuk menerima saranan kita ini, kita mendapat kesempatan untuk menunda peperangan ini hingga waktu yang tertentu.”

Penundaan ini bertujuan untuk melepaskan diri mereka dari keadaan yang begitu tertekan pada ketika itu.

Saidina Ali (KW) yang tidak kurang handalnya dalam soal peperangan serta tipu helah musuh dan juga sebagai seorang yang mengenali Muawiyyah, telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju.

Dengan itu tercapai hajat Amr Al-As. Tentera Ali tidak lagi mengasak kedudukan mereka, kekalahan pada hari itu dapat dielak dan akhirnya Muawiyyah mencapai kemenangan pada waktu lain selepas peristiwa itu. 

Apakah itu maksud 'perdamaian' atau ia hanya satu helah setelah merasai saat kekalahan?  Mengapa pihak yang hampir menang tetapi begitu cepat terpesona dengan 'perdamaian"?  Dan, akhirnya kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin.

Kongres Nasional Keadilan sedang berlangsung di dalam suasana kita bergembira apabila dikhabarkan telah ada 'perdamaian'.  Semua tahu, majoriti berada di belakang Presiden, buktinya hampir 100% konvensyen berjaya diadakan di semua negeri dengan jayanya walaupun terdapat ugutan dan boikot.  Para penyokong bekerja keras untuk bersama Presiden tanpa upah jauh sekali tawaran projek. 

Semua telah bersedia untuk pamerkan kekuatan dan sokongan kepada Presiden di dalam keadaan sebelah pihak lagi "ngok ngek ngok ngek" dengan berbagai ugutan.  Kami rela bertempur jika itu yang kamu mahu.  Lawan tetap lawan!!

Akhirnya, kalimah "perdamaian" diperdengarkan di saat kita sedang bersemangat untuk menunjukkan bahawa tiada sesiapa boleh mempersenda jauh sekali mengkhianati Presiden.  Sekali lagi, sekuat mana pun semangat kita tapi apabila berhadapan dengan "bapa reformasi" yang kita kasihi, kita akan jadi lemah selemahnya.  Demi Presiden, kita sarungkan kembali "pedang-pedang" kita.  Demi Presiden, kita rela berbalah sesama kita tentang perlu atau tidak "perdamaian" di saat ini.  Mengapa tidak dulu lagi?

Kekuatan kita tentunya sedikit merosot.  Semangat kita tentunya sedikit luntur.  Namun, demi Presiden kita gagahi juga untuk hadir ke kongres ini bukan kerana percaya dan yakin dengan "perdamaian" itu tetapi kita tidak mahu Presiden keseorangan di sini.

Semoga apa yang ditulis di sini terkhilaf.  Mungkin "perdamaian" ini tidak seperti lakonan di pentas Konvensyen tahun lalu di Shah Alam.  Selesai konvensyen berpaut tangan, masing-masing berpencak semula dan kami di bawah berpeluh semula. 

Semoga di Melaka bumi bersejarah akan mencipta sejarah buat Keadilan.  Buktikan saya khilaf di dalam tulisan ini.

WFAUZDIN NS

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers