KEKALAHAN PH DI PRK TG PIAI MENUNJUKKAN ADA 'PRIMA FACIE" PERLUNYA PM 8 SEGERA




Terlebih dahulu tahniah kepada BN dan Pas yang telah berjaya melalui calonnya dari MCA di PRK Tg Piai.  Syabas kepada parti-parti berkenaan kerana telah berjaya menambah satu Kerusi Parlimen untuk wakil MCA dan berjaya mengurangkan satu Kerusi Melayu Islam di Parlimen yang sebelum ini diwakili oleh Almarhum Md Farid (Bersatu). 

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (MCA) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi seperti yang telah diumumkan beberapa jam yang lalu di mana beliau telah memperolehi 25,466 undi daripada 128 saluran undi.  calon PH, Karmaine Saidini (Bersatu) hanya memperoleh 10,380 undi.

Terbukti, setakat ini SPR telah berjaya mengendalikan pilihanraya dengan adil.  Kerajaan PH tidak tergamak untuk gunakan SPR hanya kerana mahu kemenangan.  Syabas, media perdana kerajaan juga tidak berbuat apa-apa untuk menangkis propaganda Pembangkang dan berkelakuan seperti 'malaikat'.   

Syabas tidak terhingga kepada pengundi-pengundi tua di Tg Piai terutamanya yang berugama Islam kerana mereka akan dapat pergi umrah tidak lama lagi seperti yang dijanjikan oleh calon MCA.  Paling penting, sekiranya ada usul berkaitan pemantapan atau dasar tulisan jawi mahupun RUU Akta 355 yang akan dibawa oleh kerajaan PH di Parlimen nanti, satu suara menentang dari wakil MCA ini sudah tentu menggembirakan buat Umno dan Pas.  Kita tahu pendirian MCA di dalam isu ini. 

Bagi PH pula, isyarat telah diberikan oleh rakyat di Tg Piai.  Sebagaimana kata Dato' Seri Anwar Ibrahim, kekalahan PH kali ini adalah untuk kita bermuhasabah tentang dasar-dasar dan janji-janji PH.  Anwar hanya boleh beri pandangan termasuk di Parlimen kerana beliau hanya seorang Ahli Parlimen dan tidak mahu menganggu tugas PM sekarang.  

Sejak awal lagi saya menulis apakah wajar PM selaku Pengerusi PH termasuk perangkap perkauman Umno dan Pas apabila beliau hadir di dalam Himpunan Maruah Melayu menjelang PRK Tg Piai?  Mungkin beliau merasakan dengan kehadirannya akan dapat membantu kekuatan PH terutamanya dari kaum Melayu?  Jelas, PH terus hilang sokongan Melayu dan PH bernasib baik kerana terdapatnya masyarakat kaum Cina yang hanya memikirkan tentang PH dan melupakan tindakan Tun M itu lantas memberikan undi kepada calon Bersatu.  Mereka berikan undi juga kepada calon Bersatu walaupun di dalam hati kecil mereka tercalar dek kerana tindakan Tun M bersama Umno dan Pas di dalam program bersifat perkauman tersebut.  Nasib baik ada juga pemimpin Dap dan Anwar yang turun ke kawasan mereka untuk memujuk agar lupakan seketika rasa amarah mereka demi PH.  Namun, ianya tidak cukup untuk PH kerana bukan itu sahaja isu besar yang meyebabkan PH kalah di Tg Piai.

Rata-rata impikan perubahan besar yang dapat dirasai oleh rakyat semua peringkat.  Tidak perlu kita tunggu rakyat melihat Najib masuk Sg Buloh baru kita boleh menang.  Rakyat mahu perubahan segera, tunaikan janji PRU14 dan jikalau tidak mampu laksanakan sekarang kerana kekangan kewangan, jangan tinggalkan terus.  Tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua.  Gunakan media perdana sebaik mungkin bukan untuk menfitnah tetapi nyatakan kebenaran di samping menjadikannya saluran untuk menangkis propaganda Pembangkang.   

Jika kerajaan PH sekarang ini tidak mampu lagi berbuat apa-apa, maka isyarat di Tg Piai adalah kerajaan PH perlukan nakhoda baru.  Kekalahan 4 PRK di dalam tempuh setahun setengah bukan isyarat yang baik untuk PM sekarang.  Sudah sampai masanya PH memikirkan untuk melaksanakan janjinya iaitu Anwar mengambil alih PM.  Tidak perlu kita memaksa Tun M di dalam usianya sekarang bagi menebus maruah kita.  Mungkin Tun M telah kehabisan idea sekarang dan kita perlukan idea baru.  Beliau telah lakukan yang terbaik pada fikirannya tetapi tidak mencukupi kerana kunci 'reformasi' itu berada di tangan Anwar Ibrahim.  

WFAUZDIN NS

No comments: