Sunday, November 17, 2019

ISYARAT JELAS BUAT MAHATHIR



Dalam bahasa yang paling mudah, kemenangan bergaya BN di Tanjung Piai adalah disebabkan “pengundi Melayu undi calon Cina dan pengundi Cina pun undi calon Cina”.
Bermakna, pilihan pengundi kali ini terkeluar sama sekali daripada faktor kaum, walaupun dalam beberapa keadaan, isu perkauman cuba dimainkan.
Dalam konteks sokongan pengundi Melayu kepada calon BN, Wee Jeck Seng, ia bukanlah sangat disebabkan adanya Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas sekarang ini.
Muafakat Nasional hanyalah faktor sampingan yang memperkukuhkan lagi sokongan pengundi Melayu kepada BN.
Berdasarkan pola pengundian PRU14, pengundi Melayu memang sentiasa bersama UMNO dan BN.
Sebab itu, dalam PRU14 lalu, PH hanya menang dengan 524 undi saja di Tanjung Piai di mana faktor utama kemenangan ketika itu adalah disebabkan sokongan kuat daripada pengundi Cina.
Adanya Muafakat Nasional sekadar memberi keselesaan saja kepada BN dalam berhadapan dengan PH kali ini.
Bagi sokongan pengundi Cina kepada BN pula, ia bagaimanapun bukanlah disebabkan calon yang bertanding datang daripada kaum Cina.
Malah, kalau DAP pun yang bertanding di Tanjung Piai berlawan dengan Wee Jeck Seng daripada MCA, DAP tetap akan kalah juga.
Ini berikutan tindakan pengundi Cina yang dilaporkan meninggalkan PH atau tidak lagi menyokong gabungan itu lebih tinggi daripada pengundi Melayu dan disertai sokongan pengundi Melayu, tidak mungkin calon DAP dapat mencapai kemenangan.
Ertinya, pengundi Cina benar-benar mahu memberi isyarat penting kepada PH dan kerajaan setelah mereka memberi sokongan yang padu dalam PRU14 yang lalu.
Dalam hal ini, apakah sebenarnya yang menyebabkan pengundi Melayu dan Cina boleh bersatu hati mengundi calon Cina dan menolak calon Melayu?
Bagi pengundi Melayu, penolakan mereka lebih disebabkan prestasi kerajaan yang tidak memuaskan serta janji-janji manifesto yang gagal ditunaikan.
Harapan mereka apabila PH menjadi kerajaan, tentulah lebih banyak kebaikan dan kelebihan yang dapat dirasakan sebagaimana yang terkandung dalam buku manifesto serta ucapan para pemimpinnya yang menjanjikan macam-macam ketika berkempen.
Malangnya, selain banyak janji tidak ditunaikan dan reformasi tidak dilaksanakan, yang selalu kedengaran hanyalah kenyataan menteri-menteri yang tidak menyenangkan, menyakitkan hati serta lebih teruk daripada Ahmad Maslan.
Sebab itu, sekarang ini Ahmad Maslan dilihat lebih cerdik kerana ada sesetengah menteri ternampak jauh lebih “bodoh” daripada beliau.
Untuk pengundi Cina, kekecewaan mereka adalah berkaitan ekonomi dan perniagaan yang tidak berkembang dan terlalu perlahan.
Sokongan pengundi Cina kepada pembangkang di Tanjung Piai sebenarnya adalah isyarat kekecewaan kaum itu daripada seluruh negara kepada PH.
Di mana-mana, jika kita rajin berbual-bual dengan peniaga kaum Cina, rata-ratanya melahirkan rasa kecewa dengan prestasi ekonomi negara sehingga perniagaan mereka terus merudum dan jatuh.
Dalam konteks itu, mereka kecewa dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dilihat terlalu banyak bermain dan memikir soal politik berbanding memperkembangkan keadaan ekonomi negara.
Berbanding peringkat awal di mana ramai yang gembira dengan perlantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, sebaliknya kini lebih ramai yang kecewa dan putus asa dengan prestasinya.
Begitu juga dengan Tun Mahathir Mohamad, kaum Cina tidak lagi menyukainya seperti sebelum PRU14 lalu kerana setelah 18 bulan memegang kuasa, beliau dianggap telah gagal membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada perniagaan mereka.
Mereka kini sedar Tun Mahathir bukan lagi seperti Perdana Menteri era BN dahulu kerana usia tua dan partinya yang minoriti telah menjadikannya lemah dan tidak berupaya.
Bagi pengundi Cina, sudah sampai masanya untuk Tun Mahathir berundur untuk memberi peluang pula kepada Anwar Ibrahim memakmur dan memajukan negara ini.
Kata mereka, Anwar yang pernah menjadi TPM dan pernah juga mengalami derita paling teruk dalam perjuangannya, selain kedudukan PKR yang majoriti dalam PH, adalah pemimpin yang lebih memahami kesusahan rakyat yang sebenar-benarnya.
Tun Mahathir, kata mereka, walaupun pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dilaporkan memiliki kekayaan kira-kira RM32 juga, ada gaji bulanan sehingga RM70 ribu dan anak-anak yang semuanya kaya raya, tetapi masih lagi mengaku beliau tidak kaya sekarang ini.
Ini bermakna, tambah mereka lagi, Perdana Menteri tidak faham apa-apa pun tentang kesusahan atau kekayaan rakyat bawahan. (ShahbudinHusin 17/11/2019)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers