HISHAMUDDIN PARASIT, AZMIN PEROSAK PH.KEDUANYA HARUS DIAMBIL TINDAKAN.



Dalam suatu tindakan cepat dan pantas, Lembaga Disiplin UMNO dilaporkan akan menyiasat perbuatan sekumpulan Ahli Parlimen UMNO yang mengadakan perjumpaan sulit dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, malam tadi.
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Apandi Ali berkata, siasatan itu dilakukan berikutan pihaknya menerima aduan berhubung pertemuan yang menjadi perbualan ramai itu.
Selepas siasatan, tambah beliau, tindakan sewajarnya akan diputuskan berkenaan dengan perkara tersebut.
Sebagaimana yang ditulis dalam posting sebelum ini, tindakan Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu memang suatu kesalahan kerana mereka mengadakan pertemuan sulit dengan pihak musuh tanpa pengetahuan atau memaklumkan kepada parti.
Lebih daripada itu, jika ada perkomplotan yang sedang dirancang melalui pertemuan sulit di kediaman Azmin itu, bererti mereka juga sedang mensabotaj UMNO yang ketika ini telah bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional.
Maka itu, tindakan disiplin, secara logiknya, tidak dapat lagi dielakkan untuk dikenakan kepada Ahli-Ahli Parlimen terbabit, terutama terhadap Hishammuddin Hussein yang dipercayai ketua kepada kumpulan Ahli-Ahli Parlimen terbabit.
Membiarkan mereka terus bebas tanpa tindakan akan lebih membahayakan masa depan UMNO kerana mereka ini bila-bila masa boleh menjual diri kepada pihak musuh demi mengejar kepentingan peribadi serta menjadikan impian BN bersama Muafakat Nasional untuk menjadi kerajaan musnah sama sekali.
Sebagai bekas pemimpin kanan UMNO, perbuatan ini, khususnya oleh Hishammuddin umpama parasit yang mahu memusnahkan masa depan parti sendiri.
Tetapi, bagaimana dengan Azmin yang menganjurkan pertemuan sulit di kediamannya itu?
Walaupun Tun Mahathir sebelum ini mengatakan penggantinya tetap Anwar Ibrahim dan bukan Azmin, tindakan beliau menganjurkan pertemuan sulit dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO di rumahnya itu seolah-olah suatu cubaan untuk menggagalkan peralihan kuasa yang sememangnya merupakan konsensus PH sejak sebelum PRU14 lagi.
Kalau bukan berkomplot, untuk apakah pertemuan itu diadakan?
Bermakna, tindakan Azmin adalah suatu kesalahan disiplin kerana bukan saja mengengkari konsensus PH, malah cuba untuk menggagalkannya.
Sekaligus, Azmin melalui tindakan terbarunya ini terang-terangan mahu memecah-belahkan PH dan menjadikan kedudukan kerajaan tidak lagi diyakini rakyat.
Dalam hal ini, jika Tun Mahathir benar-benar ikhlas mahu memastikan PH terus stabil sebagai gabungan yang menguasai kerajaan serta jujur kepada janji konsensus peralihan kuasa kepada Anwar, beliau mesti tiada halangan untuk sesuatu tindakan diambil terhadap Azmin.
Kalau Tun Mahathir cuba mempertahan, mempengaruhi atau melindungi Azmin, sebagaimana Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dilindungi dalam kes video Haziq, bermakna pada tanggapan ramai, Perdana Menteri mungkin dalang di sebalik semua permainan ini.
Persoalan utama, mengapakah Tun Mahathir membiarkan saja pertemuan itu diadakan dan tidak cuba menasihatkan Azmin agar tidak meneruskan pertemuan tersebut?
Lantaran itu, oleh kerana kesalahan Azmin adalah serius iaitu cuba menggagalkan peralihan kuasa, engkar kepada konsensus, serta bertindak ke arah memecah-belahkan PH, beliau semestinya perlu diambil tindakan disiplin atas perbuatannya itu.
PKR, dalam hal ini, boleh memulakan siasatan dan kemudian mengenakan tindakan disiplin keatas Azmin, sebagaimana UMNO sudah mengesahkan akan menyiasat Hishammuddin.
Kenyataan Anwar bahawa pihaknya akan meminta penjelasan Azmin tidaklah memadai dan seseorang mesti membuat aduan kepada Lembaga Disiplin PKR.
Berdasarkan situasi dan perkembangan terbaru sekarang ini, Hishammuddin dan Azmin, kedua-duanya adalah parasit dan perosak kepada masa depan UMNO dan Muafakat Nasional serta juga kepada PKR dan PH.
Hishammuddin dan Azmin tidak boleh dibiarkan terus berada dalam UMNO dan PKR dan tanpa mereka, kedua-dua parti akan jadi aman serta selamat meneroka pilihan yang dipersetujui demi masa depan masing-masing. (ShahbudinHusin 19/11/2019)

No comments: