BAYANGKAN JIKA HARI INI AZMIN ADALAH PRESIDEN



Berlakunya pergeseran dalam kepimpinan PKR antara Azmin Ali dengan Anwar Ibrahim yang berterusan sehingga hari ini, salah satu faktornya barangkali adalah kerana tidak tercapainya hasrat Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu untuk menjadi Presiden parti itu.
Sesuai kerana sudah dinamakan sebagai calon PM8, hasrat Anwar mengambil alih teraju kepimpinan PKR daripada Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah bertujuan menambah keberkesanan kepimpinannya dalam PH dan kerajaan apabila sampai masanya beliau mengambil alih teraju kepimpinan negara daripada Tun Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, beberapa bulan menjelang pemilihan PKR pada November 2018, Azmin dikatakan telah berjumpa Anwar di Turki untuk menyatakan hasratnya untuk menjadi Presiden PKR.
Beliau difahamkan telah memujuk agar Anwar terus kekal sebagai Ketua Umum PKR saja, sementara jawatan Presiden diserahkan kepadanya, meskipun Ahli Parlimen Port Dickson itu telah dipersetujui PH sebagai pengganti Perdana Menteri.
Berikutan Anwar tidak setuju dengan saranan dan pujukan Azmin itu, itulah yang menyebabkan pergeseran mereka berlarutan sehingga ke hari ini.
Jika kita masih ingat, Azmin ketika itu lambat membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan kedudukan nombor duanya dalam PKR atau bertanding jawatan presiden yang dikosongkan oleh Dr. Wan Azizah dan dinyatakan kesediaan oleh Anwar mengambil alihnya.
Dikatakan sehingga saat akhir beliau masih berharap Anwar akan berubah fikiran dan sedia menyerahkan jawatan peneraju parti itu kepadanya.
Beliau akhirnya membuat keputusan hanya mengekalkan jawatan Timbalan Presiden setelah Anwar tidak berganjak, tetapi kemudian dicabar oleh Rafizi Ramli dan menang dengan majoriti tipis saja.
Kalau kita lihat kemelut dalam PKR dan mengimbas kembali soal peralihan kuasa yang masih kabur sehingga sekarang ini, bolehkah kita bayangkan apa jadi jika hari ini presiden parti itu adalah Azmin dan Anwar termakan pujukannya?
Di mana agaknya kedudukan Anwar sebagai bakal PM8?
Apa pula jadi kepada PKR dalam soal peralihan kuasa dan sokongan parti itu kepada Tun Mahathir?
Mungkinkah PKR sudah sepenuhnya menyokong Tun Mahathir untuk jadi Perdana Menteri sehingga habis penggal?
Selain itu, sebagaimana yang telah kerapkali saya tulis sebelum ini, satu lagi sebab berlakunya krisis atau pergeseran dalam PKR sehingga sekarang tidak lain adalah disebabkan tindakan Tun Mahathir melantik Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Oleh kerana Azmin sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas PRU14 lalu, namanya tidak pernah sama sekali dicalonkan oleh PKR untuk menjadi menteri di peringkat kerajaan persekutuan.
Perlantikan Azmin adalah 100 peratus pilihan Tun Mahathir.
Bermakna, kalaulah Azmin tidak dilantik sebagai menteri kanan oleh Tun Mahathir dan dianya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor, kemelut dalam PKR seperti yang ada hari ini tidak mungkin akan berlaku.
Kalaulah tidak dilantik sebagai menteri kanan oleh Tun Mahathir juga, tidak mungkin Azmin sanggup terbang ke Turki untuk memujuk Anwar agar jawatan Presiden PKR diserahkan kepadanya.
Sudah tentu kerana sudah menjadi menteri kanan itulah yang mendorong atau barangkali adanya dorongan juga untuk beliau menjadi Presiden PKR.
Kalaulah Azmin bukan menteri kanan yang dilantik oleh Tun Mahathir, tidak mungkin soal peralihan kuasa kepada Anwar terus kabur seperti sekarang ini.
Kalaulah Azmin masih Menteri Besar Selangor, mungkin hari ini beliau menjadi pemimpin paling lantang menyuarakan agar peralihan kuasa kepada Anwar dipercepat dan tidak lagi dilengah-lengahkan.
Kalaulah…kalaulah…kalaulah dan banyak kali kalaulah kalau mahu difikir dan diungkapkan satu persatu.
Cuma, marilah kita renungkan sejenak dalam semua kalaulah itu, siapakah “pendurjana” sebenar yang bukan saja menyebabkan PKR berpecah, malah menjadikan PH tidak harmoni? (ShahbudinHusin 30/11/2019)

No comments: