ANWAR TAK LAYAN DESAKAN KARTEL DESAK MOHON MAAF



*Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak melayan tuntutan agar beliau memohon maaf ekoran pemecatan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abd Hamid*.

Anwar berkata kenyataan bersama yang ditandatangani 20 pemimpin parti itu - yang mengandungi desakan itu - *boleh dipertikaikan*.

Beliau mendakwa dua pemimpin yang menandatangani kenyataan itu, *naib presiden Tian Chua dan anggota MPP R Sivarasa, kini mempertikai sebahagian kandungannya.*

*"Mereka tak setuju bahagian yang meminta saya memohon maaf atas pemecatan Zakaria. Bahagian itu tiada dalam draf.*

"Ini bermakna ada sesuatu yang memanipulasi surat itu kerana surat itu tidak betul seluruhnya," katanya ketika sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Ditanya berkenaan siapakah yang memanipulasi kenyataan itu, Anwar berkata: "Saya tak tahu tapi timbalan presiden yang tandatangan."

"Kenyataan perlu dipersetujui semua tetapi ada bahagian yang tiada dalam draf. Biar mereka jelaskan perkara itu dulu," katanya lagi.

Beliau ditanya berkenaan kenyataan bersama oleh Azmin dan 19 anggota MPP yang menyokongnya, yang antara lain menolak pemecatan Zakaria dan mendesak Anwar agar memohon maaf kerana keputusan itu tidak mendapat sokongan dua per tiga ahli MPP.

Selain Azmin, Tian Chua dan Sivarasa, kenyataan itu turut ditandatangani Amiruddin Shaari, Saifuddin Abdullah dan 13 anggota MPP, termasuk Zakaria sendiri.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau terbuka jika lembaga disiplin PKR ingin menilai semula pemecatan Zakaria, kerana ia adalah hak yang dimiliki semua anggota parti.

"Lebih baik Zakaria membuat rayuannya sendiri terhadap pemecatannya," katanya lagi.

Katanya lagi, isu itu bukan persoalan politik atau pergeseran antara kem tetapi PKR ialah sebuah parti yang berasaskan dasar reformasi, termasuk melawan rasuah.

"Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akui mereka tersilap menghantar surat itu kepada PKR, tetapi mereka tidak menyangkal kandungan surat itu, yang membabitkan Zakaria," katanya lagi.

*Surat SPRM dibaca kepada media*

Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mendedahkan kadungan surat SPRM berkenaan Zakaria itu dengan membacakannya kepada pemberita.

Saifuddin berkata PKR menerima surat itu pada 23 Oktober lalu, yang mana SPRM secara spesifik menyatakan nama pesalah, kesalahan yang dilakukan, tarikh dan lokasi ia didakwa berlaku, dan maklumat berkenaan individu yang disoal siasat.

Saifuddin Nasution Ismail
Menurut surat itu, Zakaria - yang merupakan bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian - didakwa menawarkan projek kementerian itu yang bernilai RM20,000.

Laporan terdahulu mendakwa ia berlaku ketika beliau bertanding untuk kerusi MPP dalam pemilihan parti yang lalu.

"Ada juga pernyataan tuntutan daripada DPP (timbalan pendakwa raya) yang mengesyorkan tindakan diambil terhadap Zakaria," kata Saifuddin.

Beliau berkata keseluruhan surat itu telah ditunjukkan kepada MPP dan tindakan parti sebelum ini berdasarkan pernyataan tuntutan daripada pihak berkuasa berkenaan siasatan rasuah yang tertinggi di negara ini.

Katanya lagi, sepucuk surat kemudian dihantar kepada Zakaria dan beliau diberi masa dua minggu untuk membuat rayuan.

Jika rayuan dibuat, lembaga disiplin parti akan membuat pertimbangan dan cadangan kepada MPP, katanya lagi.

"Selepas membaca kandungan surat itu, adakah anda fikir kami perlu minta maaf?"

Sebelum sidang media berakhir, Saifuddin ditanya jika PKR sedia berdepan dengan perpecahan besar dalam parti itu ekoran konflik yang berlaku.

"Kami telah menempuhi banyak episod, kami sedia berdepan apa saja," katanya lagi.

Sidang media itu dibuat selepas Anwar menghadiri program "Dialog Peradaban Islam-Konfusianisme" yang diadakan di Bayan Baru.

No comments: