RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan bayar hutang 1MDB, SRC sejak 2017 – Guan Eng


Kenyataan media Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.


Seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2020, sejumlah RM2.7 bilion telah disediakan untuk 2020 untuk melunaskan bayaran khidmat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC). Pada tahun 2019, sebanyak RM2.4 bilion perlu dibayar untuk bayaran-bayaran tahun ini. Selain daripada menggunakan dana awam, bayaran-bayaran ini juga bergantung kepada dana pemulihan aset 1MDB sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini yang berjaya dikembalikan, serta kutipan derma orang ramai kepada Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM203 juta. 

Di samping itu, Kerajaan (melalui Kementerian Kewangan dan syarikat MKD lain) telah membuat pembayaran balik hutang sebanyak RM8.8 bilion bagi pihak 1MDB dan SRC untuk tahun 2017 (RM6.7 bilion) dan 2018 (RM2.1 bilion). Ini bermakna RM13.9 bilion perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk 1MDB dan SRC. 

Pembayaran balik hutang-hutang 1MDB dan SRC tersebut telah disembunyikan oleh kerajaan terdahulu dan hanya didedahkan selepas Kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018. Jelas sekali, pembayaran balik Kerajaan untuk membiayai kerugian- kerugian akibat skandal 1MDB dan SRC adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salahlaku “kleptokrasi” kerajaan terdahulu. 




Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah berkata bahawa salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik tersebut, ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara kerana ia perlukan banyak usaha, masa dan kewangan, sambil menambah “apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya”. Skandal kewangan dan penyelewengan oleh kerajaan terdahulu samada berkaitan dengan 1MDB atau yang bukan 1MDB dianggarkan membabitkan kira-kira RM150 bilion. 

Kes 1MDB sahaja melibatkan jumlah sebanyak RM 51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039. Bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion, yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC, sekiranya ia dapat digunakan untuk kebajikan rakyat. Walaubagaimanapun, Kerajaan ini akan tetap komited untuk menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat. 


No comments: