KENAPA PERLUNYA TARIKH PENYERAHAN JAWATAN PM DITETAPKAN



Walaupun dinafikan oleh Hishammuddin Hussein berhubung dakwaan penglibatannya untuk menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang, tetapi PKR berpendirian sebaliknya.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya mempunyai bukti tidak langsung berkaitan perkara tersebut.
Katanya lagi, PKR mempunyai bukti tentang komplot mahu merampas kuasa daripada gabungan PH yang sedang mentadbir negara dan akan berusaha memberi amaran kepada orangramai mengenainya.
“Ada semacam circumstantial evidence. Dia tak perlu satu evidence (bukti) yang (langsung), politik mana ada evidence macam itu.
Circumstantial evidence – cukup untuk kami mengingatkan bahawa pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil pendirian bahawa rakyat harus melihat tentang adanya kemungkinan percubaan untuk hijack (merampas) agenda reformasi yang telah pun dijalankan sekian lama dan rakyat telah membuat keputusan melalui pilihan raya umum yang lepas,” kata Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Kenyataan Saifuddin ini dengan sendirinya mewajarkan tindakan Majlis Setiausaha PH minggu lalu yang mengeluarkan amaran kepada Hishammuddin agar berhenti mengajukan idea mengenai penubuhan kerajaan baru itu.
Tanpa ada bukti, meskipun tidak langsung, bukan saja mustahil Majlis Setiausaha PH mengeluarkan kenyataan media, malah tidak mungkin juga Anwar Ibrahim sendiri berani menyebutnya di dalam Parlimen.
Sekali pandang, memang terlihat Hishammuddin secara sendirian tidak cukup kekuatan untuk mengusahakan penubuhan kerajaan baru itu, tetapi segala-galanya jadi tidak mustahil jika ada “dalang” di belakang beliau.
Dalam hal ini, tentulah Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Larut yang banyak diperkatakan sebagai orang di belakang tabir yang bekerja kuat menjayakan penubuhan kerajaan baru itu bukan “dalang” yang sebenarnya.
Hamzah mungkin hanya bertaraf pekerja atau “macai” semata-mata yang kerjanya hanya mengadakan pertemuan dengan para pemimpin UMNO dan PH bagi menjayakan rancangan tersebut.
Tetapi, “dalang” di belakang tabir yang memberi arahan, merestui, mengatur strategi dan tidak mustahil turut menyediakan peruntukan kewangan itulah yang berperanan besar, sekaligus pengkhianat yang sebenarnya.
Lebih-lebih lagi Hamzah bukanlah pemimpin yang pernah ada “track record” cemerlang sebelum ini, tetapi beliau terbukti boleh melakukan apa saja perkara luar biasa jika ada “dalang” berada di belakangnya.
Maka itu, setelah mengesahkan adanya bukti tidak langsung ke arah wujudnya kerajaan baru tersebut, baik PH atau PKR, mesti mulai berusaha merungkai dan mendedahkan siapa “dalang” tersebut.
Selagi “dalang” ini tidak didedahkan, selagi itulah usaha menggugat kerajaan PH akan terus berlaku.
Mungkin dalam sebulan dua akan datang, isu kerajaan baru ini akan reda buat seketika berikutan apa yang terdedah ini, namun oleh kerana “dalangnya” masih bebas berkeliaran, tiada jaminan gugatan lain tidak muncul lagi selepas ini.
Seperkara lagi, oleh kerana idea penubuhan kerajaan baru ini berkait rapat dengan isu peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar, adalah penting tarikh penyerahan jawatan itu dimuktamadkan dengan seberapa segera.
Hanya dengan kesediaan Tun Mahathir, selain ketegasan Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa saja, yang dapat mematikan segala usaha ke arah mewujudkan kerajaan baru yang lain selain kerajaan PH yang telah diberi mandat rakyat pada PRU14 lalu dan sah sehingga 2023 akan datang. (ShahbudinHusin 20/10/2019)


No comments: